Salah satu cara untuk individu mendapatkan gambaran awal tentang alam pekerjaan adalah melalui latihan industri (internship). Walaupun tempohnya singkat, pengalaman ini sangat penting kerana memberi pendedahan kepada bakal pekerja.
Bagi anda yang tidak tahu, pelajar latihan industri (intern) tidak dianggap sebagai pekerja. Ini secara tidak langsung bermakna mereka tidak layak terima faedah yang digariskan dalam Akta Kerja 1955.
Jadi jika pelajar intern tidak dianggap sebagai pekerja, adakah ia masih relevan untuk dilakukan oleh pelajar? Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan mengapa internship diperkenalkan dan manfaatnya kepada tenaga kerja negara.
Kenapa Latihan Industri (Internship) Diperkenalkan?
Sama ada dipanggil latihan industri, internship, atau praktikal, istilah-istilah tersebut merujuk kepada satu konsep yang sama, iaitu tempoh di mana seorang graduan melaksanakan tugas-tugas kerja sementara dalam persekitaran pekerjaan yang kompetitif.
Dalam konteks syarikat, internship juga boleh didefinisikan sebagai program rasmi atau formal yang memberikan pengalaman praktikal secara langsung kepada bakal pekerja sebelum mereka melangkah ke dalam kerjaya profesional.
Tempoh, tempat, masa, dan sektor untuk menjalani internship berbeza mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh universiti dan perjanjian dengan syarikat yang menjadi tempat latihan.
Salah satu sebab utama internship diperkenalkan adalah:
1. Menguji teori
Apa yang dipelajari melalui kuliah dan bahan bacaan selalunya berbeza dengan pengalaman sebenar di dunia pekerjaan. Bayangkan memiliki pengetahuan tetapi tidak pernah melaksanakannya, apabila terjadi sesuatu pasti mudah mendatangkan panik.
Oleh itu, internship menjadi medan penting yang membantu pekerja mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari. Melalui pengalaman ini, bakal pekerja dapat memahami ilmu yang dipelajari dengan lebih mendalam dan menyelaraskannya dengan kebolehan peribadi.
2. Kenal pasti kerjaya yang dipilih
Apabila melakukan sesuatu secara hands on, ia memberikan anda idea yang lebih jelas tentang sesuatu perkara. Melaluinya juga anda dapat belajar cara berinteraksi dengan masalah yang datang dan apa yang diperlukan untuk berjaya.
Jadi melalui internship, ia dapat membantu bakal pekerja lebih memahami laluan kerjaya yang dipilih. Berbeza dengan tempoh percubaan (probation period), ketika melakukan internship pelajar masih boleh pilih untuk tukar bidang kerja selepas habis jalani program.
3. Tambah kredit calon pekerja
Dalam dunia pekerjaan, pengalaman sering kali menjadi faktor utama yang diperhatikan oleh majikan berbanding dengan pengetahuan semata-mata. Apabila seseorang calon mempunyai pengalaman kerja, ia dapat meningkatkan peluang mereka untuk dipilih untuk jawatan tersebut.
Selain itu, internship juga berperanan dalam membantu calon pekerja untuk memperluaskan kemahiran mereka yang boleh dimasukkan ke dalam resume. Memiliki rangkaian kemahiran yang luas dapat meningkatkan daya saing calon dalam pasaran pekerjaan.
Kelebihan Internship Kepada Kerjaya
1. Membina networking
Salah satu kelebihan utama menjalani internship adalah peluang untuk memperluaskan rangkaian hubungan profesional anda. Semakin banyak seseorang terdedah kepada dunia pekerjaan sebenar, semakin luaslah jaringan kenalan yang dapat diperoleh, yang pada gilirannya akan memperkukuhkan rangkaian sedia ada.
2. Tingkatkan kemahiran komunikasi
Apabila bergaul dengan mereka yang profesional, calon pekerja akan dapat mempelajari cara berkomunikasi yang tepat. Perlu diingat bahawa dalam dunia pekerjaan terdapat ‘bahasa korporat’ yang digunakan, dan anda dapat mempelajarinya melalui pengalaman internship.
3. Membina keyakinan diri
Manfaat internship lain yang kerap dilupakan adalah kemampuannya untuk memperkuat keyakinan diri calon pekerja. Ini diperolehi melalui pendedahan kepada dunia sebenar apabila bercampur dengan lebih ramai orang-orang profesional yang dapat bantu anda lebih memahami cara tugasan kerja itu dibuat.
Kelebihan Internship Kepada Majikan
Pastinya, internship bukan sekadar memberi manfaat kepada pelajar atau calon pekerja semata-mata. Ia juga dapat memberikan banyak faedah kepada syarikat, seperti:
- Meningkatkan kesedaran jenama syarikat dalam komuniti tempatan.
- Meningkatkan produktiviti kerja dengan memberi tugas kecil kepada intern.
- Meningkatkan jumlah tenaga kerja syarikat tanpa perlu merekrut pekerja sepenuh masa.
- Meningkatkan pengalaman syarikat dalam menguruskan pekerja dari pelbagai latar belakang.
Justeru, internship bukan hanya memberi manfaat kepada pelajar, tetapi juga memberi kelebihan kepada syarikat. Walaupun internship tidak dinyatakan dalam Akta Kerja, ia merupakan peluang baik bagi pelajar untuk mendalami dunia pekerjaan yang kompetitif.
Artikel berkaitan: Hentikan Eksploitasi Terhadap Pelajar Intern!
Semoga perkongsian kami ini memberi panduan buat sesiapa yang memerlukan.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!