6 Petanda Anda Harus Cari Pekerjaan Baru

Posted by

Setiap pekerjaan seseorang ada cabarannya yang tersendiri. Pelbagai sebab boleh dijadikan sebagai petanda anda tidak suka dengan pekerjaan anda yang sekarang. Ada yang mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri waima sudah bertahun bekerja di tempat yang sama. Ada pula yang terpaksa bekerja lebih masa setiap hari, tetapi masih tiada kenaikan gaji.

Turut ada masanya di mana perasaan ‘benci’ dengan pekerjaan datang bergolek, walaupun anda sudah berusaha sedaya upaya untuk bersikap positif. Tetapi, sebelum membuat apa-apa keputusan untuk mencari pekerjaan baru, pentingnya untuk individu bekerja menyoal diri sendiri dahulu, “Adakah kita bekerja untuk hidup, atau kita hidup untuk bekerja?”

Oleh itu, bagaimana hendak tahu jika kita benar-benar tidak tahan dengan pekerjaan kita yang sekarang? Perhatikan tanda-tanda seperti berikut:

 

 

Sindrom ‘Blues’ Setiap Malam Ahad

Kita sering dengar tentang ‘Monday Blues’, tetapi kali ini sindrom ‘blues’ malam ahad pula. Bagi mereka yang bekerja, malam ahad adalah malam yang paling sukar kerana keesokkan paginya adalah hari bekerja. Letih, tiada semangat dan bukankah seronok jika boleh bercuti lagi sehari? Atau seminggu? Ianya normal untuk seseorang berasa sedemikian, tetapi sekiranya anda mengalami sindrom ‘blues’ pada setiap malam ahad; sudah tiba waktunya anda mempertimbangkan untuk mencari pekerjaan baru.

 

Tidak Berasa Seronok Untuk Bekerja Lagi

Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, apa yang selalunya anda rasa? Adakah perasaan mengantuk melebihi daripada perasaan berkobar-kobar? Jika perasaan seronok untuk bekerja itu semakin pudar atau lebih teruk, tiada lagi; mesti ada sesuatu yang tidak kena.

Kita bekerja untuk memenuhi segala keperluan kehidupan seharian, untuk menggunakan dan mengasah kemahiran serta bakat kendiri, untuk membantu orang lain dan untuk mencapai impian dan kejayaan mutlak dalam kerjaya. Tetapi, tanpa kehadiran semangat dan tujuan untuk bekerja, tidak perlulah anda membazir masa lagi.

 

Sering Merungut

Merungut dengan tugasan atau pekerjaan bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan. Mungkin tidak selalu, tetapi saya fikir ramai individu bekerja yang akan atau pernah berasa sebegini sepanjang mereka bekerja. Tidak salah untuk kita merungut, tetapi sekiranya anda perasan akan tabiat merungut anda semakin menjadi-jadi saban hari — adakah tugasan anda terlampau rumit atau petanda untuk mencari pekerjaan baru? Fikir-fikirkan.

 

Tiada Kenaikan Gaji

Mungkin akan ada yang berkata wang bukanlah segalanya tetapi dengan kos hidup yang semakin meninggi sekarang, ianya adalah mustahil untuk menampung kehidupan seharian tanpa kadar gaji yang mencukupi. Setelah sekian lama berpenat lelah dan tidak cukup tidur akibat tugasan serta tanggungjawab yang semakin bertambah di pejabat, tidak adil bagi majikan untuk tidak menaikkan gaji pekerja. Mereka yang terjejas pula sudah semestinya akan berasa tidak dihargai.

 

Tiada Lagi Konsentrasi

Hadirnya konsentrasi adalah daripada minat. Tanpa minat, tiadalah konsentrasi. Ianya mudah untuk kita menumpukan perhatian terhadap sesuatu tugasan sekiranya kita benar-benar mempunyai semangat untuk melakukannya. Tanpa konsentrasi akan menyebabkan kita sering melakukan kesalahan semasa bekerja lantas menjejaskan tahap kecekapan kendiri. Jika perasaan ragu-ragu sering menghantui anda — bukankah sudah tiba masanya untuk mencuba sesuatu yang baru?

 

Hari Cuti Tidak Seindah Yang Disangkakan

Salah satu petanda anda tidak suka dengan pekerjaan anda adalah apabila perasaan tersebut cenderung untuk menghantui fikiran atau emosi anda — sedangkan tiada siapa pun dari pejabat yang mencari dan menelefon anda tentang soal kerja ketika anda sedang bercuti.

Sebuah pekerjaan yang baik tidak akan menjejaskan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan seharian seseorang. Oleh itu, sekiranya anda mendapati minda anda sentiasa diselubungi soal kerja sahaja walaupun sedang bercuti, sudah tiba masanya untuk anda move on dan cari pekerjaan baru.

 

Kesimpulannya

Sekiranya anda telah lama berasa sebegini, mungkin anda patut meneroka peluang pekerjaan yang lain (pastikan anda sudah mempunyai pekerjaan baru sebelum meletakkan jawatan ya). Jangan seksa atau paksa diri untuk menyukai pekerjaan atau tugasan tersebut lagi kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan. 

 

Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan pelbagai lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *