8 Topik Perbualan Yang Perlu Dielakkan Di Tempat Kerja

8 Topik Perbualan Yang Perlu Dielakkan Di Tempat Kerja

Posted by

Berbual-bual bersama rakan sekerja di pejabat adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan. Lagipun, ianya juga merupakan salah satu cara untuk kita melepaskan tekanan kerja buat sementara. Akan tetapi, terdapat beberapa topik perbualan yang perlu kita hindari daripada berbincang di tempat kerja kerana ianya akan menimbulkan ketidakselesaan antara anda dan rakan sekerja. Perasaan janggal akan timbul dan ianya akan mempengaruhi pandangan seseorang terhadap keperibadian diri anda. Antara 8 topik perbualan yang perlu dielakkan di tempat kerja adalah:

1. Agama dan Politik

Kedua-dua topik sensitif tersebut adalah antara 8 topik perbualan yang perlu dielakkan di tempat kerja. Adalah tidak digalakkan untuk anda membincangkan soal agama serta apa-apa hal tentang politik dengan mendalam, dan elakkan juga daripada memberi pandangan negatif terhadap kepercayaan seseorang. Anda tentu tidak mahu berasa janggal dengan rakan sekerja bukan?

2. Masalah di Rumah

“Tolong elakkan daripada berbincang tentang masalah anda bersama anak-anak atau ibu bapa.” perkongsian daripada Anand, seorang Pengurus di Kuala Lumpur. Tidak mengapa jika anda hanya ingin menjawab atau berkongsi secara ringkas tentang percutian dan tradisi keluarga anda. Tetapi, pendedahan maklumat peribadi mengenai keluarga anda adalah a “BIG NO”. Tetapkan batasan untuk segala perkongsian anda dan jadilah seorang yang profesional di tempat kerja.

3. Perhubungan Intim

Tidak kira betapa anda ingin berkongsi tentang kehidupan anda di luar pejabat, anda tidak sepatutnya membuka topik mengenai kehidupan seks dengan sesiapa pun waima kawan baik anda di pejabat. Berkongsi tentang hubungan intim hanya akan memberikan pandangan buruk terhadap keperibadian diri anda. Ianya turut boleh dianggap sebagai gangguan seksual. Jadi berhati-hati lah ya.

4. Aspirasi Kerjaya

Ianya tidak menjadi masalah untuk anda menganggap pekerjaan anda yang sekarang sebagai batu loncatan untuk mengembangkan lagi kerjaya anda ke peringkat yang lebih tinggi. Tetapi, adalah baiknya jika anda menyimpan sahaja sentimen tersebut kepada diri sendiri kerana ianya akan membuatkan majikan mempersoalkan kesetiaan anda terhadap syarikat. Malah, ianya turut akan menimbulkan perasaan iri hati buat sesetengah rakan sekerja.

 


Artikel Berkenaan: Bagaimana untuk Hindari Gangguan dan Menyiapkan Kerja


 

5. Masalah Kesihatan

Menurut perkongsian Anand, “Saya tidak mahu ambil tahu akan alasan di sebalik anda mempunyai temujanji dengan doktor pakar sakit puan.” Sebagai pekerja, kita tidak perlu beritahu secara terperinci perihal masalah kesihatan kita kerana ianya mungkin akan mempengaruhi keputusan semasa penilaian prestasi kerja anda. 

6. Kehidupan Sosial

Antara 8 topik perbualan yang perlu dielakkan di tempat kerja adalah bercerita tentang kehidupan sosial anda. Rakan sekerja di pejabat bukanlah seseorang yang anda boleh kongsikan tentang kehidupan sosial anda luar dari pejabat walaupun anda rapat dengan orang-orang tertentu. Tetapkan batasan antara kehidupan sosial serta kehidupan profesional anda di pejabat. Anda pasti tidak mahu mendapat pandangan serong atau reputasi buruk daripada rakan sekerja.

7. Gosip di Pejabat

Elakkan daripada bercampur dengan rakan sekerja yang suka bergosip atau cuba untuk bergosip tentang seseorang dengan mereka. Menyebarkan khabar angin tentang seseorang pasti akan berbalik kembali terhadap diri kita sendiri. Sekiranya anda betul-betul hendak mengadu tentang sesuatu hal di pejabat, adalah baik anda berbuat sedemikian dengan ahli keluarga anda sahaja.   

8. Pendapat Peribadi

Mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial bukanlah tiket untuk anda meluahkan pendapat peribadi anda terhadap rakan sekerja atau majikan anda. Ianya penting untuk anda sebagai pekerja mengekalkan tahap profesionalisme walau di mana anda berada demi menjaga nama baik anda. 

Pernahkah anda menjadi sebahagian daripada topik perbualan yang tidak menyenangkan di pejabat? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi.


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *