Terdapat ramalan daripada pakar-pakar ekonomi bahawa kemelesetan ekonomi global bakal berlaku lagi pada tahun 2020. Menurut Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), ekonomi dunia kini bertambah teruk lantas mengesahkan lagi ramalan kemelesetan ekonomi yang bakal berlaku. Perbincangan hangat mengenai kemelesetan ekonomi global 2020 juga boleh didapati di laman-laman media sosial dan sama ada negara membangun seperti Malaysia bakal terjejas.
Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 4.9% pada suku kedua 2019, berbanding suku pertama iaitu 4.5% lantas menunjukkan bahawa ekonomi negara kita berjalan lebih baik daripada yang dijangkakan. Ekonomi negara meningkat dengan pesat kerana disokong oleh eksport bersih yang tinggi, peningkatan perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta, menurut Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Akan tetapi, ianya tidak bermakna kita harus mengabaikan ramalan kemelesetan ekonomi global 2020 yang berkemungkinan besar akan berlaku kelak.
Kesan Kemelesetan Ekonomi Global 2020
Kesan kemelesetan ekonomi global adalah berbeza untuk setiap negara membangun dan negara-negara utama. Akan tetapi, ianya tetap mempunyai kesan yang berpanjangan. Sesetengah negara akan pulih dengan cepat, tetapi sesetengah pula akan mengambil masa yang agak lama. Oleh itu, adalah penting untuk pihak kerajaan merancang inisiatif yang boleh diambil. Berikut adalah antara kesan kemelesetan ekonomi global:
1. Peningkatan kadar pengangguran
Peningkatan kadar pengangguran adalah salah satu kesan besar kemelesetan ekonomi global di mana hasil pendapatan akan berkurangan lantas menjejaskan peluang ekonomi individu dan keluarga. Berdasarkan penyelidikan baru-baru ini, graduan kolej akan terjejas dengan cara menerima kadar pendapatan yang lebih rendah berbanding kadar pendapatan sebelum kemelesetan ekonomi global berlaku. Golongan yang tidak mempunyai sijil pendidikan yang tinggi serta yang berpendapatan rendah turut sama terjejas.
2. Pencapaian pendidikan
Pendidikan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Apabila isu pengangguran meningkat, pencapaian pendidikan juga akan terjejas kerana kebanyakan keluarga akan menghadapi masalah kewangan semasa kemelesetan ekonomi global. Oleh itu, terdapat kemungkinan tinggi ahli keluarga akan menangguhkan rancangan untuk menghantar anak mereka ke institusi-institusi pendidikan.
3. Penurunan hasil eksport
Kemelesetan ekonomi global akan menjejaskan hasil eksport negara, terutamanya bagi negara-negara membangun kerana permintaan yang rendah dan penurunan harga komoditi, termasuk permintaan untuk barangan pembuatan. Ianya juga akan menjejaskan pembentukan dan pembesaran perniagaan kerana para pembeli akan menghadkan perbelanjaan mereka ketika kemelesetan ekonomi global.
4. Pelancongan global
Industri pelancongan merupakan salah satu industri terbesar dan terpenting dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Menurut laporan ekonomi dan kewangan, permintaan untuk penginapan hotel akan berkurangan dan dengan demikian menjejaskan hasil pelancongan semasa kemelesetan ekonomi global.
5. Pelaburan swasta
Dikenali sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, kemelesetan ekonomi global akan membawa kepada turun naik perbelanjaan pelaburan dan penggunaan teknologi baru. Isu tersebut lantas menyebabkan kekurangan permintaan terhadap produk kerana kekurangan hasil pendapatan, pengeluaran produk yang lebih rendah dan lambat, termasuk akses terhad terhadap kredit. Sebab-sebab berikut akan menjejaskan rancangan perniagaan untuk melabur.
Mengatasi Kemelesetan Ekonomi Global 2020
Bagaimanakah anda sebagai seorang individu atau yang berkeluarga hendak mengatasi waktu-waktu sukar semasa kemelesetan ekonomi global? Semangat yang kuat sahaja tidak mencukupi, tetapi dengan langkah persediaan yang betul anda pasti dapat mengharungi waktu-waktu sukar tersebut dengan mudah. Berikut adalah beberapa langkah yang anda boleh ambil:
1. Sediakan simpanan kecemasan
Kehilangan pekerjaan adalah perkara yang tidak dapat anda elakkan semasa kemelesetan ekonomi global dan anda akan bakal menghadapi kesukaran untuk menanggung segala perbelanjaan harian tanpa simpanan kecemasan. Anda mungkin berasa anda masih muda, tetapi mempunyai simpanan yang mencukupi akan membantu meringankan beban anda untuk membiayai segala keperluan peribadi kelak. Anda boleh mula menyimpan dengan mengetepikan sejumlah hasil pendapatan selama tiga hingga ke enam bulan.
2. Langsaikan hutang
Melangsaikan hutang semasa kemelesetan ekonomi global kedengaran agak mustahil kerana bukankah kita sepatutnya menghadkan perbelanjaan? Ya benar, tetapi lagi lama anda tangguh, beban anda akan bertambah berat jika tidak langsaikan dengan segera.
Sekiranya tidak mampu untuk langsaikan hutang sekaligus, anda boleh cuba untuk mengurangkan separuh daripada jumlah hutang tersebut demi membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan. Tindakan tersebut dapat memberi anda peluang untuk bertahan lebih lama ketika kemelesetan ekonomi global sekiranya anda diberhentikan kerja.
3. Hidup di bawah kemampuan anda
Kita selalunya akan dengar orang berkata ‘hidup ikut kemampuan kendiri’, tetapi situasi ketika kemelesetan ekonomi global adalah sebaliknya. Anda kini perlu hidup di bawah kemampuan anda bagi mengelakkan daripada berbelanja secara berlebihan. Cara yang anda boleh lakukan adalah dengan membuat senarai belanjawan terhad untuk segala keperluan bulanan anda seperti sewa rumah, insurans, bil dan sebagainya.
4. Pendapatan sampingan
Terdapat kemungkinan tinggi sejumlah pekerja akan diberhentikan kerja semasa kemelesetan ekonomi global. Cara terbaik untuk mengatasi waktu-waktu sukar sebegitu adalah dengan mempunyai pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan harian.
Terdapat beberapa pilihan kerja sampingan yang anda boleh lakukan seperti pemandu perkhidmatan ‘rideshare’, perniagaan dalam talian dan sebagainya. Blog ini menyenaraikan kerja-kerja sampingan dengan hasil pendapatan lumayan yang anda boleh pertimbangkan.
5. Mengembangkan pelaburan anda
Harga saham kebiasaannya akan menurun secara mendadak semasa kemelesetan ekonomi global. Oleh itu, ambil peluang ini untuk mengembangkan lagi pelaburan anda. Antara jenis pelaburan lumayan yang anda boleh pertimbangkan adalah dalam sektor hartanah di mana nilai saham hartanah akan meningkat dari semasa ke semasa, waima semasa kemelesetan ekonomi.
Apakah cara peribadi anda untuk menghadapi waktu-waktu sukar semasa kemelesetan ekonomi global 2020 yang dijangka akan berlaku kelak? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan pelbagai lagi.
Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.
Reach me at: nurin@jobstore.com