kerja di Singapura

Tips Cari Kerja di Singapura untuk Rakyat Malaysia

Posted by

Ditulis oleh Mohd Fais, penulis blog smartinvest101.com

Topik kali ini adalah berkenaan dengan tips cari kerja di Singapura. Sekarang ini antara perkara yang ketara yang terjadi di Johor Bahru adalah, ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura. Ianya berlaku tanpa mengira bangsa, usia dan umur. Rata-rata memang ramai rakyat Malaysia yang keluar mencari rezeki di sana. Mesti pembaca dah tahu kenapa ramai sangat mereka yang bekerja di sana.

Faktor ekonomi terutamanya duit adalah antara faktor utama mengapa ramai warga Malaysia yang tinggal di Johor Bahru dan bekerja di Singapura. Kebanyakan bekerja di kilang, hotel, kedai makan, restoran dan lain-lain, kerja nampak biasa tetapi disebabkan oleh pertukaran wang, menjadikan ramai rakyat Malaysia yang sanggup bekerja di sana. Untuk info, kadar tukaran wang asing Singapore Dolar ke Ringgit Malaysia adalah SGD1 = RM3.02.

Bermaksud, jika seseorang itu bekerja di kedai makan seperti KFC ataupun McDonald yang memberikan gaji sebanyak SGD1000, ianya bersamaan dengan RM3200. Cuba bayangkan mereka yang bekerja di kedai makan di Singapura, tetapi mempunyai gaji yang sama dengan eksekutif di Malaysia.

Belum lagi mereka yang mempunyai kemahiran dan kelulusan seperti ijazah dan diploma dan ditawarkan gaji SGD3000 untuk pekerjaan eksekutif di sana, mereka boleh mendapat gaji sekitar RM9000 – RM10000 selepas ditukar ke Ringgit Malaysia. Pastinya faktor ini menarik ramai rakyat Malaysia ke sana. Disebabkan oleh faktor duit ini, ramai yang sanggup ke sana untuk bekerja. Walaupun pekerjaan di sana mempunyai cabaran yang tersendiri.

 

 

Dokumen Kerja di Singapura

Kalau nak bekerja di Singapura, apa dokumen yang anda perlukan? Berikut adalah antara beberapa dokumen penting yang anda perlukan kalau nak bekerja di Singapura.

Passport

Passport penting kalau nak kerja di Singapura, terutama kalau dipanggil untuk temuduga di sana. Terus renew passport selama 5 tahun.

Work Permit

Ini adalah antara dokumen yang diperlukan untuk bekerja di sana. Work pemit ini biasanya syarikat yang uruskan lepas dapat kerja di sana nanti. Anda perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan segala dokumentasi yang sesuai berdasarkan kepada keperluan ketika itu. Keperluan ataupun dokumentasi tidak semestinya sama setiap tahun.

Insurans Kemalangan Ataupun Persendirian

Tidak wajib tetapi sangat digalakkan untuk anda mencarum 1 produk insurans ataupun takaful persendirian. Seseorang itu perlu berulang alik ke Singapura dan kadangkala terpaksa meredah kesesakan di Tambak Johor terutama pada waktu puncak. Dari Singapura ke Malaysia apabila sudah selesai kerja pun masih terdedah dengan pelbagai risiko berlaku perkara yang tidak diingini. 

Ini adalah antara beberapa dokumen asas bagi mereka yang ingin bekerja di Singapura. Apapun mungkin ada dokumen lain yang diperlukan bergantung kepada syarikat di mana anda ditawarkan bekerja.

 

 

Cabaran Kerja di Singapura

Menghadapi Kesesakan Lalu Lintas

Kerja di Singapura mempunyai cabaran yang tersendiri yang seseorang itu perlu hadapi terutama kalau nak ulang alik antara Johor Bahru dan Singapura. Cabaran pertama adalah untuk menghadapi kesesakan di Tambak Johor dan kesesakan di laluan kedua iaitu 2nd Link di Tuas. Seseorang itu perlu untuk berada di check point selama 1 jam hingga 2 jam untuk pergi dan balik.

Perlu bangun tidur awal pagi biasanya dalam sekitar pukul 5 pagi dan seterusnya pergi bekerja. Dijangka tiba di tempat kerja sekitar jam 7.30 pagi sehingga 8 pagi. Jika habis kerja pada pukul 6 petang, anda dijangka tiba di rumah sekitar jam 8.30 hingga ke 9 malam. Ini adalah antara cabaran terbesar mereka yang bekerja di Singapura.

Jika tak sanggup nak ulang alik, boleh sewa bilik di Singapura. Kos untuk sewa bilik di sana adalah dalam sekitar SGD600 sebulan. Ianya umpama menyewa sebiji rumah di Malaysia. Atas sebab untuk berjimat, ramai yang tinggal di Johor Bahru, sama ada menyewa bilik ataupun rumah dan berulang alik ke Singapura hampir setiap hari.

 

 

Cara Ulang Alik Kerja di Singapura

Motosikal

Ini adalah antara cara yang paling cepat dan mudah, tetapi sedikit penat kerana masih perlu beratur di “checkpoint” untuk ke Singapura. Biasanya mengambil masa sehingga 1 jam ke 2 jam untuk melepasi “checkpoint” ini. Dari segi kos, dalam sekitar Rm17/hari tidak termasuk minyak motor.

Kereta / Van

Cara ini agak selamat sikit berbanding menggunakan motosikal. Tetapi perlu untuk ambil kira dari segi kos ulang alik ke sana. Kadar ‘entry pass’ ialah SGD 35, tol SGD 7 dan ‘parking’ SGD 5. Belum lagi kos minyak. Satu lagi kalau menaiki kereta, perlu bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi kesesakan di Tambak Johor. Jika seseorang itu menggunakan motor pun perlu beratur panjang, inikan lagi kereta, terutama pada waktu puncak.

Bas

Ini adalah antara cara yang jimat untuk pergi dan balik ke Singapura. Ada majikan yang sediakan bas untuk pekerja dari Malaysia. Bas disediakan adalah dari “checkpoint” di Woodlands sehingga ke tempat kerja. Ianya lebih selamat dan lebih murah. Anda juga boleh menaiki bas awam ke tempat kerja jika majikan tidak sediakan bas untuk pekerja.

 

 

Tips Cari Kerja di Singapura Untuk Rakyat Malaysia

Portal Jobstore.com

Boleh cuba apply kerja melalui portal ini. Tengok jenis pekerjaan yang ditawarkan dan kalau sesuai boleh cuba. Cuba update resume dan hantar secara konsisten, 5 tempat sehari bagi yang betul-betul nak kerja di sana. Jika gaji dan keperluan pekerjaan sesuai, tiada masalah untuk mencuba.

Melalui Facebook

Anda juga boleh mendapat info pekerjaan terkini di group Facebook. Antaranya adalah group “Geng Kerja Singapura” dan lain-lain lagi. Tidak perlu PM untuk dapatkan info kerana biasanya tidak akan di layan. Ikut sahaja arahan yang diberikan oleh mereka. Cuma satu perkara nak ingatkan, kalau boleh elakkan daripada berurusan dengan agen yang minta wang pendahuluan. Dapatkan info daripada mereka yang mengiklankan dan info daripada mereka yang lain.

 

 

Mulakan Langkah Sekarang

Disebabkan oleh faktor pertukaran mata wang asing yang tinggi, memang ramai yang keluar mencari rezeki di Singapura. Apapun, cuba untuk mencari rezeki yang halal dan yang paling penting sekali perlu atur kewangan agar anda mempunyai rancangan di masa akan datang. Gaji yang tinggi di sana pastinya membolehkan anda untuk membayar hutang dengan cepat dan mempelajari perniagaan dan pelaburan seperti hartanah dan lain-lain.

 

Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan di Singapura, Malaysia dan lain-lain. 

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *