Soalan temuduga “Tell Me Something About Yourself” merupakan soalan yang biasa ditujukan kepada para pemohon kerja pada setiap sesi temuduga sebagai pengenalan diri, tetapi tidak semuanya tahu akan menjawab soalan tersebut dengan betul.
Jangan terkejut kerana terdapat sesetengah yang menjawab soalan “Tell Me Something About Yourself” dengan menghafal butiran resume dan hanya segelintir sahaja yang menjawab dengan menceritakan pengalaman kerja serta pencapaian mereka. Dengan sedikit perancangan dan latihan, anda boleh menjawab soalan “Tell Me Something About Yourself” tersebut dengan mudah!
Berikan gambaran ringkas tentang diri anda
Selain daripada mencari individu bersesuaian dengan keperluan pekerjaan, para penemuduga juga ingin mengetahui serba sedikit tentang latarbelakang diri pemohon. Sebagai permulaan, anda boleh menceritakan tentang personaliti diri anda melalui hobi atau aktiviti kegemaran.
Contohnya, anda boleh mengongsikan gambaran ringkas tentang aktiviti sukarelawan anda pada hujung minggu. Ianya membantu menggambarkan peribadi anda sebagai seorang yang mengambil berat tentang kebajikan masyarakat. Akan tetapi, perkongsian anda biarlah berpada-pada.
Ceritakan tentang pencapaian diri yang terkini
Pencapaian yang dimaksudkan termasuk pencapaian profesional atau peribadi. Pemohon yang mempunyai pengalaman kerja boleh mengongsikan pencapaian seperti memenangi “Anugerah Pengurusan Terbaik”, “Employee of The Month” atau “Anugerah Kedatangan Terbaik” dan sebagainya, sementara fresh grads boleh mengongsikan dua tiga contoh pencapaian tertinggi mereka semasa belajar.
Ceritakan tentang pengalaman kerja dan kemahiran yang diperolehi
Salah satu cara untuk menarik perhatian para penemuduga adalah dengan mengongsikan pengalaman dan kemahiran yang anda perolehi sepanjang perjalanan karier dan bagaimana ianya dapat membantu anda menyelesaikan tugasan untuk jawatan yang dipohon. Elakkan jawapan samar-samar dan jelaskan dengan terperinci tugasan-tugasan serta pencapaian anda bagi memastikan kualiti kerja anda lebih menyerlah daripada calon-calon yang lain.
Ceritakan tentang cabaran yang dihadapi dan cara anda atasi
Melalui penceritaan tersebut anda dapat menunjukkan sikap kebertanggungjawaban dalam mengatasi situasi yang mencabar dengan menggunakan kemahiran intrinsik serta kekuatan emosi anda kepada para penemuduga. Penceritaan anda hendaklah menunjukkan bahawa anda mempunyai kemahiran serta sikap yang diperlukan dan dicari bakal majikan.
“Jual” kemahiran anda bersesuaian dengan jawatan
Sebagaimana tenaga-tenaga kerja kini kian melangkah ke pasaran global, kebanyakan pekerja akan bekerjasama dengan individu-individu berpengaruh dari serata dunia. Oleh disebabkan itu, kebanyakan majikan hendakkan pekerja yang mempunyai ciri-ciri kemahiran insaniah tertentu bagi membantu organisasi untuk lebih produktif dalam menawani pasaran dunia. Tarik perhatian para penemuduga dengan “menjual” kemahiran anda seiring dan bersesuaian dengan jawatan yang dipohon.
Bagaimanakah anda menjawab soalan “Tell Me Something About Yourself”? Kongsikan pengalaman temuduga anda bersama kami di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk peluang pekerjaan baru, informasi kerjaya dan banyak lagi.