World Health Organisation (WHO) baru-baru ini telah mengisytiharkan bahawa wabak novel coronavirus (COVID-19) adalah pandemik. Tidak lupa juga, Perintah Kawalan Pergerakan turut telah dikuat kuasakan selama 14 hari. Oleh itu, kebanyakan organisasi telah mengarahkan para pekerja mereka untuk bekerja dari rumah demi kesihatan semua dan untuk mengawal wabak tersebut dari merebak secara lebih meluas.
Bekerja dari rumah menawarkan pelbagai kelebihan untuk para pekerja termasuk fleksibiliti dan keselesaan. Akan tetapi, konsep tersebut masih mempunyai sejenis dua stigma di mana ia berkait rapat dengan tahap produktiviti seseorang apabila bekerja luar dari rutin serta disiplin di pejabat. Lantaran itu, kami himpunkan beberapa tips kekal produktif buat mereka yang bekerja dari rumah ekoran situasi COVID-19 yang sedang melanda Malaysia kini.
Tetapkan Waktu Bekerja
Kelebihan utama bekerja dari rumah adalah fleksibiliti waktu bekerja, tetapi tidak bermakna anda boleh bermalas-malasan atau menangguh kerja sedia ada. Dengan menetapkan waktu bekerja, ia akan membantu anda kekal produktif dan disiplin seperti bekerja di pejabat. Anda boleh menetapkan waktu bekerja mengikut kesesuaian jadual harian anda di rumah. Tetapi untuk kekal produktif, seeloknya anda jadualkan waktu bekerja sama seperti waktu pejabat.
Sediakan Ruang Bekerja
Penyediaan ruang bekerja di rumah adalah salah satu elemen penting untuk kekal produktif. Anda boleh gunakan mana-mana ruang bilik kosong dan meletakkan sebuah meja berserta peralatan untuk anda bekerja dengan aman tanpa sebarang gangguan. Elakkan daripada menetapkan ruang bekerja di bilik tidur atau ruang tamu.
Gunakan Perancang Harian / Daily Planner
Tanpa kehadiran rakan sekerja atau pengurus, antara cabaran bekerja dari rumah adalah untuk kekal up-to-date dengan tugasan-tugasan yang anda perlu selesaikan dalam sesuatu masa. Oleh itu, gunakan perancang harian dan catatkan to-do-list anda setiap pagi sebelum anda mula bekerja. Kalendar juga penting supaya anda boleh catat dan rujuk tarikh-tarikh penting atau tarikh akhir sesuatu projek.
Gunakan Aplikasi Produktiviti
Selain perancang harian, alternatif lain yang anda boleh gunakan adalah memuat turun aplikasi produktiviti di telefon pintar anda. Terdapat pelbagai jenis aplikasi produktiviti yang anda boleh pilih mengikut kesesuaian atau permintaan kerja. Kebanyakan aplikasi tersebut turut menawarkan versi web dan juga mudah alih untuk kesenangan anda.
Baca selanjutnya: 13 Aplikasi Produktiviti untuk Kegunaan di Pejabat
Jangan Bekerja Memakai Pakaian Rumah / Baju Tidur
Salah satu sebab kenapa para pekerja suka akan bekerja dari rumah, iaitu tidak perlu memakai pakaian seperti hendak ke pejabat. Akan tetapi, pakaian merupakan antara elemen penting dalam memastikan tahap produktiviti anda berada di tahap maksimum. Pastikan pilihan pakaian untuk bekerja dari rumah adalah selesa tetapi masih kekal profesional. Jika anda masih tidak pasti, pakai pakaian seperti anda hendak keluar membeli-belah!
Tetapkan Penggera
Walaupun anda tidak perlu bangun seawal selalu, anda masih perlu menetapkan penggera untuk bangun pada waktu tertentu setiap hari sementara masih bekerja dari rumah. Kita perlukan tabiat yang baik untuk kekal produktif. Oleh itu, dengan menetapkan penggera, jadual dan waktu bekerja akan membantu kita lebih fokus, semangat dan peka dengan tanggungjawab kita.
Tetapkan Waktu Rehat
Bekerja dari rumah kadangkala membuatkan kita terlebih komited dan seterusnya bekerja luar dari kemampuan, di mana ia tidak langsung membantu mengekalkan tahap produktiviti seseorang. Anda boleh elakkan perkara ini dari berlaku dengan menetapkan waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit dalam jadual kerja anda. Kajian membuktikan bahawa dengan mengambil sedikit masa untuk berehat dapat meningkatkan tahap kreativiti dan produktiviti.
Makanan Sihat untuk Makan Tengahari
Realiti bekerja dari rumah semestinya apabila kita mempunyai stok makanan yang banyak berbanding di pejabat. Apabila stres atau bosan dengan kerja, laju sahaja tangan kita untuk mengambil kerepek kentang atau biskut di dapur. Nanti dahulu! Kajian membuktikan bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan dapat meningkatkan produktiviti seseorang. Oleh itu, jangan tergoda dengan makanan ringan dan ambil makanan sihat untuk mengisi perut anda. Google je resepi makanan sihat yang mudah!
Gunakan Video Chat / Chat Room
Bekerja dari rumah kadangkala akan membuatkan seseorang berasa sunyi, terutamanya buat mereka yang tinggal bersendirian. Terdapat pelbagai jenis perisian atau aplikasi mudah alih yang anda boleh gunakan dan memuat turun untuk berkomunikasi dengan mudah bersama klien, bos atau rakan sekerja. Dalam sesuatu masa, anda tidak perlu pun berbincang soal kerja, cukup untuk anda berbual-bual sedikit bagi mengelak perasaan burn out.
Lakukan Senaman Ringan / Regangan Badan
Senaman mengeluarkan endorfin yang membantu meningkatkan segala perasaan yang meningkatkan positiviti, minat dan produktiviti seseorang. Regangan badan pula membantu memperbaiki postur badan kita. Luangkan sedikit masa di antara jadual kerja anda dan lakukan sedikit senaman ringan dan regangan badan supaya otot-otot tidak berasa sakit.
Bersama-sama kita menjaga kebajikan dan kesihatan semua dengan mengamalkan social distancing dengan cara bekerja dari rumah. Dengan harapan, wabak COVID-19 akan berhenti merebak dengan lebih meluas dan meragut lebih banyak nyawa.
Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Layari portal Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan.