Kebaikan Dan Keburukan Bekerja Sebagai 'Freelancer'

Kebaikan Dan Keburukan Bekerja Sebagai ‘Freelancer’

Posted by

Freelancer atau pekerja bebas menawarkan peluang untuk anda bekerja secara bebas dan tidak terikat pada mana-mana syarikat. Anda boleh bekerja di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja mengikut kesesuaian waktu anda. Lazimnya, freelancer menawarkan perkhidmatan atau servis seperti fotografi, penulisan atau pereka grafik.

Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan lima kebaikan dan keburukan bekerja sebagai freelancer.

Artikel berkaitan: Pros and Cons of Freelancing

Kebaikan Bekerja Sebagai Freelancer

1. Bebas kerja di mana sahaja

Kebaikan Dan Keburukan Bekerja Sebagai 'Freelancer'

Anda boleh pilih untuk bekerja di kedai kopi, di atas katil atau di mana-mana sahaja mengikut keselesaan anda asalkan mempunyai capaian internet yang laju. 

Sebagai freelancer, anda tidak perlu hadir ke pejabat dan lapor diri setiap hari. Kehidupan ketika bekerja juga tidak terlalu melemaskan kerana tidak terperap dalam pejabat untuk tempoh masa yang lama.

2. Waktu kerja yang fleksibel

Kebiasaannya, freelancer boleh bekerja pada bila-bila masa. Mereka akan bekerja pada waktu yang dirasakan paling produktif dan ia tidak semestinya perlu pada waktu bekerja umum. Sinonim dengan perkataan free dalam freelance, anda bebas memilih untuk bekerja pada bila-bila masa sahaja. Ini juga termasuk kebebasan untuk mengatur waktu rehat dan hari cuti. 

Pada hari atau waktu yang anda rasa kurang produktif atau tidak mempunyai mood untuk bekerja, anda boleh tidur selama mana yang anda mahu. Kalau anda ingin ambil cuti hujung minggu untuk keluar bersiar-siar dengan keluarga atau pasangan anda, tidak ada sesiapa pun yang akan menghalang.

3. Anda adalah bos

Untungnya menjadi freelancer ini anda tidak terikat untuk menjawab panggilan sesiapa selain klien. Bagi anda yang kurang gemar bekerja di bawah arahan orang atasan, bekerja sebagai freelancer memang sangat sesuai untuk anda. 

4. Keuntungan milik persendirian sepenuhnya

Bekerja sebagai freelancer membolehkan anda untuk memperuntukkan atau menyimpan sendiri semua keuntungan daripada projek dan pelanggan. Anda bebas menggunakan dan menguruskan wang tersebut untuk membeli kehendak diri atau bagi mengembangkan perniagaan dan penjenamaan. 

5. Kebebasan idea dalam bekerja 

Anda bebas bekerja dan menggunakan idea anda tanpa perlu risau dikritik serta dilonggokan dengan kerja-kerja yang anda tidak minat yang boleh memberikan impak negatif kepada diri.

Kelemahan Bekerja Sebagai Freelancer

1. Gaji yang tidak konsisten

 

Seorang freelancer tidak mempunyai gaji bulanan yang tetap. Ini kerana, pulangan wang bergantung kepada beban kerja yang dilakukan. Bagi tugasan yang lebih berat, anda mungkin berpeluang untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.

Disebabkan gaji freelancer bergantung kepada tugasan yang diambil, pendapatan bulanan adalah tidak tetap kerana bukan setiap bulan anda dapat projek yang menguntungkan. Berbeza dengan bekerja di bawah majikan, gaji akan tetap dibayar walaupun tiada klien.

2. Berisiko untuk tidak dibayar

Sudah menjadi kebiasaan bagi freelancer untuk berhadapan dengan risiko untuk tidak dibayar. Punca wujud kemungkinan untuk tidak mendapat bayaran adalah sama ada klien memandang remeh terhadap freelancer dan mereka ambil mudah dengan melambatkan pembayaran atau anda sendiri yang terlupa untuk menghantar susulan bagi pembayaran. 

3. Tiada faedah daripada majikan

Faedah kesihatan adalah salah satu keistimewaan yang diperoleh apabila bekerja di bawah syarikat tertentu. Namun, sebagai freelancer anda tidak dapat menikmati keistimewaan tersebut. Segala pembiayaan bil berkaitan kesihatan perlu ditanggung oleh anda sendiri. 

4. Sukar mengasingkan masa peribadi dan masa bekerja

Bekerja sebagai seorang freelancer kadangkala memerlukan anda untuk bekerja siang dan malam tanpa rehat demi menyiapkan tugasan yang diberikan oleh klien. Disebabkan kebanyakan masa anda bekerja di rumah, maka waktu berehat juga mungkin anda sedang menyipakan tugasan.

5. Perlu bekerja lebih keras

Seorang freelancer bertanggungjawab mencari klien dan projek sendiri. Berbeza dengan bekerja di bawah majikan, setiap projek diserahkan kepada pekerja dan kebanyakan masa pekerja tidak perlu keluar untuk mencari klien sendiri.

Kesimpulannya, setiap pekerjaan mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri termasuklah bekerja sebagai seorang freelancer. Tidak kira apa sahaja pekerjaan yang anda pilih untuk ceburi sama ada bekerja sendiri atau makan gaji, yang penting adalah kepuasan dalam pekerjaan yang anda lakukan kerana tidak semua orang diberi peluang untuk merasai nikmatnya.

Semoga perkongsian kami kali ini menjadi panduan untuk anda pada masa hadapan. 

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan!


Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.

Reach me at hanis@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *