Ibu bapa toksik adalah golongan ibu bapa yang hanya mementingkan perasaan dan diri mereka sendiri tanpa memikirkan tentang anak-anak. Lazimnya, ibu bapa dengan sikap ini tidak akan meminta maaf atau mengakui kesalahan mereka.
Sekiranya dibiarkan berlarutan, kesihatan mental anak-anak boleh terjejas disebabkan oleh sikap toksik ini. Sebagai ibu bapa, penting untuk anda menjadi yang terbaik buat anak-anak.
Jadi, dalam artikel kali ini kami akan kongsikan lima tanda-tanda ibu bapa toksik yang mungkin sebenarnya ada pada diri anda tetapi anda tidak pernah sedar.
1. Mengkritik setiap tindakan anak-anak
Semua ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tetapi sekiranya setiap tindakan anak-anak dikritik, ia akan memberi kesan yang buruk sehingga mereka hilang keyakinan dan motivasi untuk mencuba perkara-perkara baru.
Normal untuk anak-anak membuat kesilapan. Tetapi pastikan mereka belajar daripada kesilapan tersebut. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu bertanggungjawab untuk memahami dan menjadi penyokong setia dalam setiap perkara baik yang anak-anak lakukan dan bukannya menghakimi mereka. Ibu bapa perlu mencari keseimbangan antara perkara positif dan negatif serta tidak menjatuhkan semangat mereka.
2. Merendah-rendahkan anak kepada orang lain
Menceritakan kelemahan atau kesalahan anak-anak kepada orang sekeliling adalah satu sikap dan tabiat yang tidak baik kerana ia akan menjadikan anak-anak kurang keyakinan diri.
3. Menyalahkan anak-anak tentang semua perkara
Sesetengah ibu bapa sering menyalahkan anak-anak dengan cara yang salah iaitu dengan memaki atau mengherdik mereka. Sebagai seorang ibu bapa yang baik, berkomunikasi dan berbincanglah dengan mereka kerana ia adalah antara strategi yang efektif untuk membetulkan kesilapan anak-anak.
4. Inginkan semua perhatian
Ibu bapa yang toksik sering berfikir bahawa anak-anak mereka ‘berhutang’ sesuatu kerana telah menghabiskan begitu banyak masa dan tenaga membesarkan mereka. Sesetengah ibu bapa tidak faham bahawa anak mereka juga mempunyai kehidupan sendiri dan tidak akan selalu ada untuk mereka.
Jadi perkara terbaik seorang ibu bapa boleh lakukan adalah dengan memberikan anak mereka ruang dan dengan sendirinya mereka akan sedar masa yang perlu diluangkan bersama ibu bapa.
5. Tidak membenarkan anak untuk tunjukkan emosi
Kita semua mempunyai mood yang tersendiri. Penting untuk ibu bapa berbual tentang perasaan bersama anak-anak. Perbualan sedemikian boleh mencegah daripada berlakunya kemurungan.
Jika anda berkata kepada anak-anak “budak lelaki tidak boleh menangis” dan berfikiran yang kata-kata tersebut boleh menjadikan mereka lebih tegas dan kuat daripada segi emosi, anda sememangnya salah!
Malah, perkara ini boleh menyebabkan anak anda kemurungan dan kesepian kerana tiada tempat untuk mereka cerita tentang perasaan mereka. Jadi, seorang ibu bapa perlulah ada waktu dan ruang untuk berbual tentang perasaan mereka.
Semoga perkongsian ini memberi ilmu dan pengetahuan buat ibu bapa di luar sana.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com