Perayaan Kuih Bulan atau juga dikenali sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival) merupakan salah satu perayaan yang disambut oleh masyarakat Cina di seluruh dunia. Ia disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 pada kalendar Cina iaitu pada akhir bulan Ogos hingga akhir bulan September.
Pada waktu ini, bulan biasanya mengambang dan terang, menjadikannya waktu yang sesuai untuk meraikan hasil tuaian musim panas. Selain Tahun Baru Cina, perayaan Kuih Bulan juga merupakan antara salah satu perayaan terpenting bagi masyarakat Cina. Kedua-dua perayaan ini membawa makna ‘perjumpaan semula’ atau reunion kepada masyarakat Cina. Di Malaysia, masyarakat Cina menyambutnya dengan mengunjungi tokong, berkumpul bersama keluarga, membuat Kuih Bulan dan menggantung tanglung.
Pada perayaan ini, Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa. Ia diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Masyarakat Cina akan memberi Kuih Bulan kepada rakan dan saudara mara untuk mengukuhkan ikatan.
Sejarah bermulanya Perayaan Kuih Bulan
Perayaan Kuih Bulan mempunyai pelbagai legenda dan ceritanya yang tersendiri. Antara yang paling terkenal adalah kisah Houyi dan Chang’e/Chang’ Er, Wugang dan juga Arnab Jed. Terdapat juga sebuah cerita yang mengatakan bahawa sejenis kuih yang berupa kuih bulan telah digunakan sebagai medium penyampaian mesej dalam usaha penggulingan pemerintahan Mongol pada zaman dinasti Yuan.
Pada asalnya, perayaan ini berkait rapat dengan pertengahan musim luruh, upacara penyembahan bulan yang dijalankan oleh maharaja China sejak Dinasti Zhou. Upacara ini berkait rapat dengan Pesta Menuai. Di pertengahan musim luruh, maharaja Dinasti Zhou akan menjalankan upacara penyembahan bulan, berdoa terhadap bulan agar rakyat diberkati dan kedamaian negara terjamin. Amalan ini diteruskan sehingga Dinasti Qing. Kuil bulan yang terletak di bahagian barat Beijing, China, yang digunakan oleh maharaja Dinasti Ming dan Dinasti Qing kini masih boleh dikunjungi oleh para pelancong.
Perayaan ini disambut oleh istana dan golongan atasan. Rakyat mula menyambut perayaan ini pada pertengahan Dinasti Tang. Sempena bulan penuh bulan ke-8, maharaja dan pegawai-pegawai dan semua anggota keluarga akan berkumpul bersama-sama untuk menikmati pemandangan bulan penuh yang indah.
Perayaan ini terus diwarisi sehingga Dinasti Song. Pemerintah Dinasti Song kemudiannya telah menetapkan hari ke-15 bulan ke-8 sebagai cuti Perayaan Pertengahan Musim Luruh dan disambut secara besar-besaran dari siang hingga malam oleh seluruh rakyat. Pelbagai aktiviti perayaan dijalankan bagi memeriahkan perayaan ini. Setiap kedai dan restoran akan dihias dengan hiasan yang berwarna-warni semasa meraikan perayaan ini. Sejak zaman Dinasti Song juga, perayaan ini telah dikenali sebagai “reunion” yang diwarisi sehingga sekarang.
Selain itu, perayaan ini juga berkait rapat dengan Peperiksaan Awam Diraja. Ia dijalankan pada bulan Ogos semasa Dinasti Song. Oleh itu, pegawai yang lulus peperiksaan awam juga turut diraikan sempena hari perayaan ini.
Kuih bulan merupakan hidangan istimewa pada perayaan ini sejak Dinasti Ming. Pada zaman ini, kuih bulan mula dihantar sebagai buah tangan kepada keluarga, saudara-mara dan sahabat yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan juga menunjukkan penghargaan. Kuih bulan yang berbentuk bulat seperti bulan membawa maksud “reunion” telah dijadikan makanan tradisional perayaan ini.
Selain Kuih Bulan tradisional, terdapat juga Kuih Bulan Shanghai, Kuih Bulan Snowskin, Kuih Bulan Teochew dan sebagainya.
Kini, Kuih Bulan telah dimodenkan dengan pelbagai warna dan adunan seperti durian, pandan, keladi, tiramisu, green tea dan sebagainya. Terdapat juga Kuih Bulan yang dibuat dalam bentuk ais krim dan agar-agar dengan pelbagai warna dan bentuk tetapi masih mengekalkan konsep bulat seperti bulan.
Artikel berkaitan: Perayaan Kuih bulan dan sejarahnya
Semoga perkongsian ini memberi pengetahuan baru buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com