Hari Braille Sedunia disambut pada 4 Januari pada setiap tahun. Sambutan ini diadakan untuk meraikan jasa pencipta sistem tulisan Braille, Louis Braille yang telah memudahkan komunikasi individu buta atau mereka yang berdepan dengan masalah penglihatan kronik.
Sistem Braille terdiri daripada bentuk-bentuk titik yang timbul pada permukaan rata dapat dibaca melalui sentuhan pada hujung jari si pembaca.
Dengan ciptaan sistem tulisan braille ini, ramai individu yang mengalami masalah buta dan masalah penglihatan berpeluang untuk meningkatkan tahap literasi sama seperti individu-individu normal yang lain. Selain itu, ia juga dapat membuka lebih banyak peluang untuk menempa kemajuan dalam kehidupan.
Artikel berkaitan: Ini Kelebihan Menderma Darah Yang Ramai Tak Tahu
Siapakah Louis Braille, pencipta tulisan braille?
Louis Braille dilahirkan pada 4 Januari 1809 di Coupvray, Perancis. Ketika Braille berusia tiga tahun, beliau telah tertusuk matanya tanpa sengaja. Kecederaan pada matanya telah menyebabkan jangkitan. Beberapa tahun kemudian, beliau disahkan kehilangan penglihatannya buat selamanya.
Di usia mudanya, Braille nekad untuk menyambung pengajian dan mencari cara bagaimana untuk membantu orang lain yang senasib dengan dirinya, iaitu untuk membaca dan menulis seperti individu normal yang lain.
Ketika menyambung pelajaran di National Institute for Blind Youth di Paris, beliau bertemu dengan sebuah sistem bacaan dan tulisan, sistem Barbier (juga dikenali sebagai tulisan malam), yang dibangunkan oleh Kapten Charles Barbier, seorang pegawai tentera Perancis.
Sistem Barbier ini menggunakan siri titik-titik timbul untuk mewakili perkataan dan huruf dan secara asalnya, digunakan untuk berkomunikasi pada waktu malam.
Braille berasa sangat teruja dengan sistem yang diperkenalkan oleh Barbier dan menghabiskan banyak masa untuk melakukan uji kaji ke atasnya serta mengadaptasi sistem ini untuk kegunaannya.
Setelah sekian lama melakukan penyelidikan, Braille akhirnya berjaya membangunkan sistem tersebut dengan versi yang lebih ringkas, iaitu menggunakan sel enam titik untuk mewakili setiap abjad dan pelbagai tanda baca.
Sistem yang lebih ringkas ini dikenali sebagai ‘Braille’. Ia adalah lebih mudah untuk dibaca dan ditulis berbanding sistem Barbier dan dalam sekelip mata sistem ini menjadi popular dalam kalangan pelajar-pelajar di sana.
Pada 1829, Braille telah menerbitkan sebuah buku yang menerangkan tentang sistem tulisan tersebut yang seterusnya diguna pakai oleh sekolah-sekolah orang buta di seluruh Eropah.
Setelah beberapa tahun, sistem Braille telah diubahsuai dan diperluaskan kepada beberapa bidang ilmu seperti memasukkan notasi muzik, simbol matematik dan simbol-simbol lain.
Sehingga ke hari ini, sistem Braille telah digunakan secara meluas di setiap pelosok negara dan telah memberikan peluang kepada ramai insan-insan yang mengalami masalah penglihatan untuk membaca dan menulis serta kemampuan untuk bergaul dengan masyarakat seperti individu normal yang lain.
Untuk pengetahuan, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memuji bantuan Braille, yang telah memberi akses kepada ramai orang buta dan cacat penglihatan.
Pada November 2018, 4 Januari telah ditetapkan sebagai Hari Braille Sedunia. Sejak 2019, Hari Braille Sedunia telah diperingati untuk menggalakkan kesedaran kepentingan braille sebagai medium komunikasi dalam pencapaian penuh hak asasi manusia untuk orang buta dan separa penglihatan.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan ilmu baru buat anda.
Sumber: The Times Of India
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com