Industri getah negara memerlukan kira-kira 70,000 ke 80,000 pekerja bagi menampung kekurangan sumber tenaga buruh dalam perladangan getah.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, jumlah itu diperlukan bagi ditempatkan di kira-kira 420,000 hektar ladang pekebun kecil getah di negara ini yang tidak diusahakan berikutan kekurangan pekerja dalam sektor terbabit.
“Ada kira-kira 420,000 hektar ladang getah yang tak boleh ditoreh sebab tak ada pekerja, jadi ini adalah satu isu.
“Kalau ikut perkiraan, satu setengah hektar memerlukan seorang pekerja. Jadi kita perlukan antara 70,000 dan 80,000 pekerja,” katanya.
Menurut Johari dalam temu bual sebelum ini, Malaysia ‘kehilangan’ RM2.3 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan 420,000 hektar ladang pekebun kecil getah tidak diusahakan kerana kekurangan pekerja dalam sektor berkenaan.
Walaupun Malaysia mempunyai ladang getah termasuk pokok dalam keadaan baik, pengusaha dan pekebun tidak dapat mengeluarkan hasil kerana berdepan masalah kekurangan pekerja.
“Situasi ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya tiada langkah mitigasi dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Disebabkan itu, kementerian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang merangka pelan bagi membantu pekebun kecil getah secara berperingkat dan membina sebuah ekosistem yang lebih baik bagi sektor berkenaan untuk menangani cabaran terbabit.
Malaysia sebelum ini pernah menghasilkan kira-kira 1.4 juta tan metrik getah mendahului Vietnam iaitu kira-kira 30,000 tan metrik. Tetapi sekarang, Vietnam telah mengeluarkan kira-kira 1.4 juta tan metrik sedangkan Malaysia memiliki 420,000 hektar ladang getah yang boleh diusahakan.
“Sebab itu kita kena cari jalan penyelesaian supaya ladang getah pekebun kecil ini dapat diusahakan, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan import getah dari negara luar,” katanya.
Artikel berkaitan: Pekerja Asing Masih Diperlukan Dalam Sektor Yang Tidak Diminati Rakyat Tempatan
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com