Kita selalu dengar tentang kawan atau ahli keluarga yang ‘toksik’, iaitu seseorang yang sentiasa negatif dan memberi impression yang tidak baik terhadap orang sekeliling. Tapi bagaimana pula dengan ‘pekerja toksik’?
Sama seperti manusia-manusia toksik dalam kehidupan peribadi kita, pekerja toksik juga boleh memberi cabaran di tempat kerja. Mereka boleh menyukarkan pekerja lain dan mewujudkan persekitaran kerja yang negatif atau mungkin bermusuhan dengan orang lain.
Pekerja toksik akan menunjukkan tindakan yang memudaratkan kakitangan, organisasi (syarikat), harta benda atau kedua-duanya. Mereka ini boleh menyebabkan kerugian atau kemudaratan kepada kakitangan dan juga organisasi.
Pekerja toksik ini juga mungkin akan menjadi penyebab rakan sekerja lain meletakkan jawatan (berhenti kerja).
Pendek kata, kehadiran pekerja toksik ini memberi kesan buruk yang mempengaruhi dinamik di tempat kerja dan boleh mencetuskan konflik.
Ciri-ciri pekerja toksik
Lazimnya, pekerja toksik dikenali dengan ciri-ciri seperti mempunyai keyakinan diri yang berlebihan, memiliki sikap mementingkan diri sendiri, dan kurangnya kerjasama.
Individu seperti ini sering kali lebih mementingkan kepentingan dan pandangan peribadi mereka daripada kepentingan pasukan (team), yang boleh menyebabkan penurunan semangat kerjasama, produktiviti, dan hilangnya rasa hormat.
Antara ciri-ciri lain seorang pekerja toksik termasuklah:
-
- Kaki gosip: individu yang tidak boleh menyimpan rahsia dan suka menyebarkan gosip
- Si pemberi alasan: individu yang sentiasa mencari alasan dan menyalahkan orang lain
- Individu narsisis: individu yang merasakan dirinya sahaja yang terbaik dalam semua perkara
- Pemarah: individu yang sering bertengkar atau tidak puas hati dengan orang lain
- Si tahu semua perkara: individu yang perlu tahu semua perkara
- Individu yang suka menangguh kerja
- Individu yang selalu berkata ‘ya’: individu yang tidak boleh berkata ‘tidak’ dalam keadaan apa pun
- Si pemalas: individu yang sering mencari alasan untuk mengelak daripada melakukan sesuatu
Kesan pekerja toksik kepada syarikat
Dalam konteks kerja, individu yang memperlihatkan ciri-ciri pekerja toksik sangat berisiko terhadap pertumbuhan dan kestabilan syarikat. Ini kerana sikap negatif yang mereka tunjukkan boleh mempengaruhi orang lain dan merosakkan kesepaduan dalam organisasi.
Selain itu, pekerja toksik juga berpotensi mempengaruhi:
1. Produktiviti
Kegagalan satu unit untuk berfungsi dengan baik akan mengganggu pelaksanaan tugas bahagian yang lain. Pekerja toksik menjadi permasalahan utama yang menghalang produktiviti syarikat daripada terus berkembang.
2. Moral pasukan
Semangat berpasukan sangat penting dalam organisasi, terutamanya apabila individu-individu datang dari latar belakang yang berbeza.
Kehadiran pekerja toksik akan menyukarkan lagi usaha pasukan untuk mewujudkan nilai kerjasama apabila setiap individu cenderung untuk bersifat individualistik.
3. Berlakunya perpecahan
Isu utama yang timbul apabila wujudnya pekerja toksik adalah ia boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan pekerja di syarikat. Sikap negatif ini boleh tersebar dan menyebabkan pekerja membentuk kumpulan-kumpulan yang berasingan.
4. Menyebabkan berlakunya konflik
Kehadiran individu yang mementingkan diri sendiri dapat mengganggu dinamika kerja dan secara tidak langsung akan tercetusnya lebih banyak konflik, terutama ketika ada perasaan ketidakpuasan jika layanan yang sama tidak diberikan kepada semua pihak.
5. Pekerja berhenti
Kewujudan pekerja toksik dalam syarikat boleh menyebabkan lebih banyak individu lain memilih untuk berhenti.
Ini disebabkan oleh kesukaran untuk bekerjasama dengan pekerja toksik tersebut, yang mendorong mereka untuk mencari jalan keluar yang cepat.
Bagaimana cara untuk uruskan pekerja toksik?
Berikut adalah beberapa tips yang boleh digunakan dalam mengendalikan pekerja toksik:
- Mengenal pasti isu yang dihadapi oleh pekerja tersebut
- Melakukan perbincangan dan mendalami isu yang dihadapi oleh pekerja tersebut
- Menjelaskan kesannya kepada syarikat dan individu tersebut
- Mencari penyelesaian dan mencapai kata sepakat
- Mengambil tindakan untuk memecat pekerja tersebut sekiranya tiada perubahan yang berlaku
Setiap pekerja wajar diberi peluang, tetapi sekiranya terus menimbulkan kesan negatif terhadap syarikat, majikan, atau pegawai sumber manusia (HR), tindakan yang tegas perlu diambil termasuk membuang pekerja bagi menjaga kebajikan pekerja lain.
Artikel berkaitan: Hentikan 10 Budaya Toksik Ini Di Tempat Kerja Anda!
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!