Ini Apa Yang Anda Perlu Buat Selepas Dapat Keputusan SPM 

Ini Apa Yang Anda Perlu Buat Selepas Dapat Keputusan SPM 

Posted by

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan pada 27 Mei lalu.  Tahniah kepada semua pelajar atas pencapaian yang diperoleh melalui usaha gigih dan kesungguhan yang telah diberikan.

Kini, persoalan yang menghantui beberapa pelajar adalah: “lepas dapat result ni, nak buat apa?”

Pertanyaan ini adalah normal, setiap individu yang sudah bekerja juga pasti pernah mengalami ketidakpastian dan kebingungan tentang apa yang perlu dilakukan seterusnya. Ini kerana tidak semua orang memahami minat dan bakat mereka sendiri.

Menurut seorang Pegawai Psikologi dari Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Muhammad Ridzwan Farizuddin, sama ada keputusan SPM seseorang itu baik atau tidak, mereka perlu mempertimbangkan bidang apa yang ingin diceburi untuk peringkat pendidikan seterusnya.

1. Kenal pasti minat

Anda perlu mempertimbangkan minat dan mencari bidang yang sesuai dengan minat tersebut, kerana terdapat banyak pilihan yang tersedia selepas tamat SPM. 

Bagi anda yang ingin memasuki pasaran kerja terlebih dahulu, anda boleh jadikan pekerjaan selepas SPM sebagai pekerjaan sambilan sementara merangka langkah pendidikan seterusnya.

2. Keputusan tidak cukup melayakkan diri menceburi bidang diinginkan

Dalam situasi lain, walaupun anda sudah mempunyai kefahaman tentang minat dan bidang yang ingin dikejar, keputusan yang diperoleh mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi syarat untuk meneruskan pengajian dalam bidang atau universiti yang diidamkan.

Anda boleh menyertai bidang kemahiran dan meningkatkan kemahiran insaniah (soft skills) kerana keperluan ini semakin meningkat dalam proses penyerapan pekerjaan pada masa akan datang. 

Selain itu, anda juga boleh melibatkan diri dalam program kemahiran kerana ia secara tidak langsung dapat memberikan peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Walaupun satu pintu tertutup, ini tidak bermakna peluang lain harus diabaikan. Terdapat banyak institusi pendidikan dan kemahiran lain yang boleh dijadikan pilihan bagi pelajar yang mendapat keputusan kurang memuaskan, seperti STPM, IKBN, dan institut di bawah MARA. 

Yang paling penting, jangan tergesa-gesa membuat keputusan. Berikan diri anda masa yang mencukupi untuk mencari minat dan lakukan penyelidikan menyeluruh mengenai bidang-bidang pelajaran yang ditawarkan di universiti awam.

3. Tidak tahu minat

Dengarkan nasihat dan pandangan dari individu yang telah melalui fasa yang sama, seperti ahli keluarga atau rakan yang lebih berpengalaman, untuk mendapatkan idea dalam menentukan arah selepas SPM. 

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa keputusan akhir terletak pada diri sendiri, dan ia harus dipilih berdasarkan minat peribadi, bukan kerana tekanan atau pandangan orang lain.

Walaupun ketika di Tingkatan 4, anda mungkin telah diberi pilihan untuk memilih aliran tertentu, sama ada sastera atau sains tulen, ada yang masih belum pasti tentang minat dan kecenderungan mereka sendiri. 

Salah satu langkah yang boleh diambil jika anda masih tidak pasti mengenai minat atau bidang yang ingin dikejar adalah melalui ujian Inventori Minat Kerjaya (IMK) yang disediakan oleh kaunselor di sekolah.

4. Tidak mahu sambung belajar

Sekiranya anda memutuskan untuk tidak meneruskan pengajian, itu tidak menjadi masalah asalkan anda komited untuk meningkatkan kemahiran insaniah anda. 

Ini penting agar anda dapat meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja yang semakin sengit. Sekiranya anda memilih untuk terus bekerja, carilah pekerjaan yang memberikan kepuasan dan bukannya memberikan tekanan yang berlebihan. 

Pada permulaan kerjaya, tidak mengapa sekiranya anda ingin lompat-lompat kerja kerana ia akan memberikan anda pengalaman yang berharga.

Berdasarkan pemerhatian dalam media sosial, semakin ramai anak muda yang memilih untuk tidak meneruskan pengajian dengan cita-cita menjadi seorang pempengaruh (influencer)

Namun, untuk menjadi seorang pempengaruh yang memberi manfaat, ilmu juga penting. Sebarang keputusan dalam kehidupan memerlukan ilmu. 

Selain itu, penting untuk meneliti dan menyaring setiap kandungan yang akan disebarkan agar tidak memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan masyarakat.

Sekiranya anda lebih terdorong untuk menjadi seorang pempengaruh, penting untuk menjadi pempengaruh yang memberi manfaat kepada generasi akan datang, kerana platform media sosial telah terbukti dapat menjana pendapatan sekiranya digunakan dengan baik.

Semoga perkongsian kami ini memberi manfaat buat anda yang memerlukannya.

Artikel berkaitan: Hala Tuju Lepas SPM: Sambung Belajar Atau Terus Kerja?

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *