Wallace “Wally” Amos, pencipta empayar biskut Famous Amos yang dinamakan sempena namanya dan kemudiannya menjadi pejuang celik huruf kanak-kanak, dilaporkan meninggal dunia pada Selasa lalu (13 Ogos), pada usianya 88 tahun.
Mendiang Amos menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Honolulu di samping isterinya, Carol. Beliau dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi demensia.
Amos merupakan individu yang mencipta empayar biskut Famous Amos, namun, pada akhirnya kehilangan pemilikan syarikat tersebut serta hak untuk menggunakan nama Amos yang sangat masyhur.
Pada tahun-tahun terakhirnya, beliau memiliki kedai biskut bernama Chip & Cookie di Hawaii, di mana dia berpindah ke sana pada tahun 1977.
Menurut anak-anak mendiang, iaitu Sarah, Michael, Gregory dan Shawn Amos dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata: “Famous Amos adalah kisah kejayaan besar Amerika dan sumber kebanggaan bagi masyarakat kulit hitam.”
Amos juga merupakan pengasas bersama Uncle Wally’s Muffin Co dan menjadi inspirasi kepada generasi usahawan.
Dalam satu wawancara dengan Associated Press pada tahun 2007 Amos berkata: “Menjadi terkenal itu terlalu dibesar-besarkan.”
Mendiang juga pernah menyatakan bahawa biskut Famous Amos yang dijual sekarang tidak sama dengan biskut asalnya yang menggunakan banyak coklat, mentega asli dan ekstrak vanila tulen.
Syarikat muffin milik Wally Amos yang berpusat di Shirley, New York, pada awalnya ditubuhkan sebagai Uncle Noname Cookie Co pada tahun 1992, beberapa tahun selepas beliau kehilangan jenama Famous Amos.
Walau bagaimanapun, Uncle Noname mengalami masalah kewangan dan akhirnya beralih kepada pengeluaran muffin pada tahun 1996 setelah dicadangkan oleh rakan perniagaannya, Lou Avignone.
Di kedai biskutnya di Hawaii yang kini telah ditutup, Amos menjual biskut bersaiz kecil yang serupa dengan yang pertama kali dijualnya di kedai Famous Amos di Hollywood.
Sepanjang hayatnya, Amos juga aktif dalam mempromosikan tabiat dan budaya membaca termasuk menyediakan bilik bacaan di kedainya dengan sejumlah koleksi buku yang disumbangkan.
Beliau juga menulis lapan buah buku, berkhidmat sebagai jurucakap untuk Literacy Volunteers of America selama 24 tahun selain aktif memberi ceramah motivasi.
Pada tahun 1991, beliau dianugerahkan Anugerah Literasi oleh Presiden George H.W. Bush atas sumbangannya.
Dalam bukunya bertajuk, Man With No Name: Turn Lemons Into Lemonade, Amos mendedahkan bagaimana dia kehilangan pemilikan jenama Famous Amos sebelum ia dijual dengan harga AS$63 juta kepada sebuah syarikat Taiwan pada tahun 1991.
Meskipun jualan yang kukuh, perniagaannya mula merosot pada tahun 1985, dan Amos membawa masuk pelabur luar yang akhirnya menyebabkan dia kehilangan keseluruhan pemilikan syarikat tersebut.
“Pemilik baharu menguasai lebih banyak bahagian saya sehingga tiba-tiba saya mendapati saya telah kehilangan semua pemilikan dalam syarikat yang saya asaskan,” tulis beliau.
“Tidak lama kemudian, syarikat itu telah menukar pemilikan sebanyak empat kali.”
Mendiang Amos dilahirkan di Tallahassee, Florida dan berpindah ke New York pada usia 12 tahun selepas ibu bapanya bercerai.
Di New York, beliau tinggal bersama seorang ibu saudara, Della Bryant yang mengajarnya cara pembuatan biskut coklat.
Dia kemudiannya berhenti daripada sekolah menengah untuk menyertai Tentera Udara sebelum bekerja sebagai kerani bilik surat di agensi William Morris.
Di agensi tersebut, mendiang menjadi ejen bakat, bekerja dengan The Supremes, Simon & Garfunkel dan Marvin Gaye sebelum meminjam AS$25,000 untuk melancarkan perniagaan biskutnya.
Menurut anaknya, Shawn Amos, bapanya merupakan ejen kulit hitam pertama dalam perniagaan itu.
“Ayah kami mengajar kami tingginya nilai kerja keras, percaya pada diri sendiri dan mengejar impian kami.
“Kami juga tahu dia akan menyukainya jika anda mempunyai biskut coklat hari ini,” kata anak-anak mendiang Amos lagi.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!