Pekerja wanita di salah sebuah francais Auntie Anne’s di cawangan pusat membeli belah Mid Valley dipecat selepas tular video dan fotonya membuat aksi bermain dan mencium tepung uli (doh untuk dijadikan pretzel).
Menurut francais berkenaan, pekerja tersebut diberhentikan serta-merta susulan insiden berkenaan yang telah mendapat perhatian dan mencetuskan kebimbangan warganet.
“Terima kasih kepada semua yang telah menunjukkan keprihatinan dan berkongsi insiden yang melibatkan Alice Chang baru-baru ini.
“Kami ingin menjelaskan bahawa Alice Chang bekerja dengan Auntie Anne’s Malaysia namun dia diberhentikan serta-merta berikutan insiden ini,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial.
Jelas pihaknya lagi, Auntie Anne’s Malaysia sememangnya komited dalam mengikuti piawaian kebersihan dan keselamatan yang tinggi untuk pelanggan dan kakitangan.
Tambahnya, rangkaian makanan berkenaan tidak akan membenarkan atau bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang menjejaskan piawaian kebersihan yang ditetapkan.
Sebagai langkah proaktif, Auntie Anne’s cawangan Mid Valley akan ditutup buat sementara waktu untuk pembasmian kuman dan pembersihan menyeluruh.
“Kedai akan dibuka semula setelah proses pembasmian kuman selesai dan semua protokol keselamatan yang diperlukan disahkan.
“Kami menghargai pemahaman dan kesabaran pelanggan kami yang dihargai pada masa ini. Yakinlah, keselamatan dan kesejahteraan anda sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.
Artikel berkaitan: Mahkamah Setuju Tindakan Coway Malaysia Pecat Pekerja Main PS4 Waktu Bekerja
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!