Tidak dinafikan, servis menyiapkan tugasan/assignment ini sudah lama berleluasa dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang dilakukan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Ada yang menawarkan kadar bayaran serendah RM50 hingga ribuan ringgit, bergantung kepada kategori tugasan sama ada peringkat diploma, ijazah Sarjana Muda, ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah (PhD).
Baru-baru ini, seorang pengguna di laman X membangkitkan isu ini selepas mendapati wujudnya iklan yang mempromosikan tawaran servis menyiapkan tugasan-tugasan subjek di universiti.
Iklan tersebut disiarkan secara meluas di sejumlah media sosial untuk mencari pelanggan dalam kalangan penuntut yang malas menyiapkan tugasan dengan mengenakan caj tertentu.
Pengguna X yang berkongsi isu ini meluahkan rasa tidak puas hati dengan tawaran servis menyiapkan tugasan universiti kerana risau generasi anak muda akan datang akan menjadi semakin malas dan tidak berilmu.
Ciapan itu ternyata menjadi perhatian warganet dan rata-ratanya menyelar individu yang menawarkan servis menyiapkan tugasan kepada penuntut institusi pengajian tinggi yang dilabel menjadi perosak generasi anak muda kelak.
Ada juga warganet yang mendedahkan servis sedemikian sedia ditawarkan pada sejumlah laman web seperti Carousell atau Shopee dengan harga serendah RM50 dan boleh mencecah ribuan ringgit bergantung tahap kesusahannya.
Memetik laporan Bernama pada tahun 2020, terdapat lebih 10 pautan di laman sosial Facebook yang menyediakan servis seperti ini dan ia ditawarkan dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.
Lebih merisaukan apabila pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada penuntut IPT seolah-olah memberi reaksi yang baik dan akan mendapatkan semula servis mereka.
Ini merupakan antara contoh pekerjaan yang tidak beretika dan perlu dihentikan agar tidak melahirkan generasi profesional yang tidak berkualiti dan pemalas.
Artikel berkaitan: Pekerjaan Gig Yang Anda Tak Pernah Tahu & Tawarkan Gaji Lumayan!
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!