Memetik laporan EuroNews, Volkswagen AG, pengeluar automotif terbesar di Eropah, kini berhadapan dengan keputusan sukar untuk menutup sekurang-kurangnya tiga kilang di Jerman.
Artikel berkaitan: ByteDance, Syarikat Induk TikTok Didakwa Pecat Intern Gara-Gara Mensabotaj Projek AI?
Keputusan ini memberi kesan besar, dengan puluhan ribu pekerja dijangka terjejas akibat pemberhentian kerja serta langkah pengurangan kapasiti kilang-kilang lain di seluruh negara.
Menurut Daniela Cavallo, Ketua Dewan Perwakilan Pekerja VW, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin (28 Oktober 2024), langkah drastik ini diambil untuk menghadapi cabaran besar yang menghimpit syarikat, termasuk kos tenaga dan buruh yang semakin tinggi, persaingan sengit daripada pengeluar Asia, serta penurunan permintaan di pasaran utama seperti Eropah dan China.
Cavallo juga memberikan petunjuk bahawa ini mungkin menandakan permulaan penjualan aset secara besar-besaran oleh Volkswagen di Jerman.
Walau bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran terperinci mengenai kilang mana yang bakal ditutup atau bilangan sebenar pekerja yang akan terjejas daripada kira-kira 300,000 orang tenaga kerja VW di negara itu.
Sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan, Volkswagen juga berhasrat untuk mengurangkan gaji pekerja di bawah jenama VW sekurang-kurangnya 10% dan menangguhkan sebarang kenaikan gaji sehingga tahun 2025 dan 2026.
Langkah ini menimbulkan bantahan daripada ribuan pekerja, yang berkumpul di Wolfsburg sebagai bentuk protes. Mereka mendesak agar kilang-kilang VW terus beroperasi tanpa sebarang penutupan.
Volkswagen dijadualkan akan mengemukakan cadangan rasmi mengenai pemotongan kos buruh pada hari Rabu.
Gunnar Kilian, salah seorang ahli dewan pengurusan Volkswagen, menyatakan bahawa keadaan syarikat kini berada dalam situasi kritikal.
“Tanpa langkah-langkah komprehensif untuk meningkatkan daya saing, kami tidak mampu mendanai pelaburan penting untuk masa depan,” katanya.
Ketua Jabatan Volkswagen, Thomas Schaefer, juga menyatakan kebimbangannya mengenai tahap produktiviti kilang-kilang VW di Jerman, di mana kos pengeluarannya masih jauh melebihi sasaran, bahkan mencapai 50% lebih tinggi berbanding pesaing antarabangsa.
Langkah drastik ini turut memberi tekanan kepada kerajaan Jerman yang sedang berusaha mencari cara untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di tengah ancaman kemerosotan.
Untuk pengetahuan, industri automotif, terutamanya Volkswagen, memainkan peranan penting dalam ekonomi Jerman.
Justeru, sebarang tindakan yang melibatkan penutupan kilang dan pemberhentian pekerja akan memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara tersebut.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!