Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan Para graduan agar tidak bersikap terlalu memilih pekerjaan dan sebaiknya segera merebut peluang yang ada, terutamanya dalam menghadapi persaingan yang sengit daripada pekerja asing.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa sikap terlalu memilih bukan sahaja mendatangkan kerugian kepada graduan itu sendiri, malah turut memberi impak negatif terhadap pembangunan negara.
“Jika terlalu memilih (pekerjaan), para graduan akan kekal menjadi ‘pengganggur terhormat’ dan peluang yang ada akan direbut pekerja asing. Akibatnya awak semua, dan negara yang akan rugi,” titah Seri Paduka Baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-100 di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk UiTM di sini pada Rabu.
Sultan Ibrahim juga bertitah menasihati para graduan agar tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, kerana ia boleh melahirkan generasi yang lemah dan pasif.
“Sebagai generasi baharu yang bakal memimpin negara, saudara-saudari hendaklah menolak sikap buruk ini.
“Budaya dan sikap bergantung hidup boleh membunuh keyakinan diri serta semangat untuk memajukan diri, akhirnya ia akan membenam usaha negara untuk terus maju,” titah Seri Paduka Baginda.
Titah Sultan Ibrahim, setiap individu, termasuk generasi muda, pegawai kerajaan, dan ahli politik, perlu mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan dalam diri terlebih dahulu bagi memastikan kemajuan yang lebih besar dapat dicapai demi masa depan bangsa dan negara.
Seri Paduka Baginda seterusnya menzahirkan penghargaan kepada UiTM atas usaha dalam membentuk generasi graduan yang berkompeten dan berharap universiti itu akan terus berperanan sebagai pusat ilmu yang mendorong kemajuan bangsa.
“Syabas dan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian,” titah Sultan Ibrahim.
Pada majlis itu, Sultan Ibrahim telah dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM yang ketujuh. Turut hadir dalam istiadat semalam adalah Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, serta Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Majlis itu juga dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.
Artikel berkaitan: Impak Pengangguran Terhadap Individu, Masyarakat & Ekonomi
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!