Menurut data yang dikeluarkan oleh Expat City Ranking 2023, Kuala Lumpur berada di tempat kelapan daripada 49 bandar utama di dunia yang paling diidamkan untuk didiami oleh ekspatriat berpendapatan tinggi.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut Saifuddin, antara faktor utama yang menarik ekspatriat untuk menetap di Kuala Lumpur adalah kos sara hidup yang relatif rendah, selain kestabilan politik.
Selain itu, mereka melihat kerancakan ekonomi yang ditampilkan pada saban hari.
Di samping kemahiran yang setara dalam kalangan rakan sekerja tempatan, para ekspatriat turut selesa berkomunikasi dengan rakyat Malaysia kerana pengguasaan bahasa Inggeris yang baik sekaligus mendorong kepada nombor ranking negara di dalam carta tersebut.
“Faktor-faktor ini menyumbang kepada kedudukan Malaysia di tempat kelapan pada tahun lalu,” tambah Saifuddin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai jumlah dan peratusan ekspatriat di Malaysia mengikut negara serta sumbangan ekonomi mereka dari tahun 2019 hingga 2023.
Tambah Saifuddin, sehingga 31 Oktober, jumlah pegawai ekspatriat mencecah 120,183 orang, dengan lima negara teratas melibatkan pelbagai kategori, termasuk perkhidmatan dan teknologi maklumat.
“Ekspatriat dari China berjumlah 27,460 orang, diikuti India (23,131), Filipina (9,302), Jepun (8,739), Indonesia (8,333), merangkumi 64 peratus daripada keseluruhan ekspatriat.
“Selebihnya iaitu lain-lain negara adalah 36 peratus daripada 120,183 orang,” jelasnya.
Selain itu, terdapat tiga kategori pegawai ekspatriat atau pegawai dagang yang disusun mengikut julat gaji, iaitu pertama, mereka yang menerima gaji RM10,000 ke atas, diikuti dengan kategori kedua, yang mempunyai gaji antara RM5,000 hingga RM9,999.
Ketiga, adalah kumpulan dengan gaji antara RM3,000 hingga RM4,999, yang mana julat gaji ini dikategorikan sebagai pegawai ekspatriat berdasarkan jenis pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.
“Impak ekonomi pula, secara langsung atau tidak langsung mereka membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, tinggal di sini, anak mereka bersekolah, melancong, perbelanjaan domestik, bayar bil utiliti dan melabur.
“Jadi, kayu ukurnya ada dua. Pertama, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menganggarkan sumbangan impak ekonomi keberadaan pegawai ekspatriat di negara kita ialah RM75 bilion, menyamai 4.8 peratus daripada keseluruhan KDNK Negara.
“Kayu ukur yang kedua adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mengumpul sehingga RM100 juta cukai pendapatan daripada kelompok ini,” katanya.
Artikel berkaitan: Malaysia Di Tempat Ke-2 Negara Dengan Work Life Balance Paling Buruk Di Dunia
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!