Memetik laporan The Edge Malaysia, yang diambil dari laporan firma perunding sumber manusia, Mercer, jumlah gaji di Malaysia dijangka naik sebanyak 5% bermula tahun hadapan yang mana ia merangkumi semua industri.
Bukan itu sahaja, hampir satu per empat syarikat merancang untuk menambah bilangan pekerja tahun hadapan, walaupun pengambilan pekerja menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya
Dalam laporan Total Remuneration Survey (TRS) yang melibatkan lebih daripada 680 syarikat dari pelbagai sektor, termasuk teknologi, barangan pengguna, pembuatan, runcit, kimia, sains hayat, tenaga, dan perkhidmatan perkongsian, Mercer mendedahkan bahawa beberapa sektor seperti tenaga dan perkhidmatan perkongsian, mendominasi dalam menawarkan gaji asas tertinggi.
Tambah Mercer, pasaran bakat di Malaysia kini semakin kompetitif, dengan 70% syarikat tempatan bercadang untuk mengubah strategi pampasan mereka pada tahun 2024.
Peralihan ini juga dipengaruhi oleh penekanan yang lebih besar terhadap pakej pampasan yang kompetitif, struktur insentif yang pelbagai, kerja fleksibel, serta manfaat yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pekerja.
Artikel berkaitan: Purata Gaji Pekerja Bangladesh Di Malaysia Buat Warga Tempatan Terkejut
Menurut Koay Gim Soon, ketua pasaran Mercer Malaysia, kunci utama ialah fleksibiliti dalam menyesuaikan diri dengan kehendak tenaga kerja yang semakin berubah.
Antara pekerjaan yang mengalami peningkatan gaji dan permintaan tinggi termasuk bidang seperti pengkomputeran awan, jurutera kawalan dan instrumen elektrik, serta sektor keselamatan siber.
Selain itu, skop kerja seperti jurutera kawalan projek dan arkitek perusahaan kini menawarkan premium gaji yang tinggi, berikutan peningkatan nilai terhadap kemahiran khusus dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Unjuran kenaikan gaji sebanyak 5% ini selaras dengan kadar kenaikan yang dicadangkan dalam Belanjawan 2024, namun ia masih lebih rendah berbanding dengan kenaikan sebanyak 6.1% di Indonesia.
Walau bagaimanapun, Malaysia lebih baik daripada Singapura, yang hanya dijangka meningkat pada kadar 3.8%.
Namun, majoriti syarikat di Malaysia cenderung untuk mengekalkan bilangan pekerja mereka pada tahap yang sama tahun depan, dengan hanya 24% daripada responden bercadang untuk memperluaskan tenaga kerja mereka.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!