Seorang pemimpin yang bagus mengambil berat tentang solusi kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan sering menjaga setiap aspek kehidupan demi membantu mereka untuk bekerja dengan sebaik mungkin. Ada kalanya juga, seorang pemimpin memerlukan helah-helah lain untuk membina perjalanan karier yang lebih bermakna dalam bidang yang diceburi mereka. Berikut merupakan 5 helah psikologi untuk lebih berjaya yang boleh dicontohi oleh para pembaca.
Dipercayai Ramai
Helah pertama dalam 5 helah psikologi untuk lebih berjaya adalah dengan menjadi seorang pemimpin yang boleh dipercayai walau dengan sesiapa pun beliau berurusan. Tidak bermakna anda sebagai seorang pemimpin dan orang sekeliling anda memandang tinggi terhadap anda, anda boleh berbuat apa sahaja bagi memenuhi keperluan anda. Seorang pemimpin mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat, maka jadilah seorang pemimpin yang dihormati dan dipercayai ramai. Nescaya dengan amalan ini, perjalanan karier anda akan lebih lancar dan berjaya.
Tingkatkan Daya Pemikiran Anda
Kajian menunjukkan bahawa penggunaan bahasa kedua atau bahasa asing membantu dalam melambatkan proses penuaan otak selama lima tahun. Dengan mempelajari bahasa baru, ianya dapat meningkatkan memori, rentang perhatian dan kebolehan mendengar seseorang, lantas menyebabkan otak kita berkembang lalu berfungsi dengan baik dan kreatif. Sebagai permulaan, kami sarankan anda untuk mencuba aplikasi seperti Duolingo yang boleh di muat turun di stor aplikasi telefon pintar anda. Selamat mempelajari bahasa baru!
Jadi Seseorang Yang Berfikiran Positif
Untuk sentiasa berfikiran positif merupakan suatu cabaran buat netizen zaman kini yang ternyata banyak cabarannya yang merangkumi segala aspek. Oleh itu, antara 5 helah psikologi untuk lebih berjaya yang anda boleh lakukan adalah dengan menulis kesemua penghargaan atau menyenaraikan segala perkara yang wajar disyukuri di dalam hidup anda.
Kita sebagai manusia sering kali terlupa dan tidak peka dengan nikmat yang dikurniakan ke atas kita. Jadi, amalan ini dapat meningkatkan hormon “gembira” atau dopamin seseorang. Jika anda mahukan aura positif mengelilingi anda, mulakan dengan mensyukuri apa yang anda miliki dahulu!
Kawal Emosi Anda
Ketika berada di dalam situasi yang tegang, kebanyakkan orang cenderung untuk mengelak daripada berhadapan dengan sebarang konfrontasi dan terdapat juga yang susah untuk mengawal perasaan. Antara cara terbaik untuk kawal emosi anda dalam apa jua masalah, tekanan, tugas dan sebagainya adalah dengan cara menulis untuk meluahkan perasaan anda ketika itu.
Kemungkinan terdapat segelintir yang was-was akan cara ini, tetapi belum cuba belum tahu bukan? Tulis sahaja apa yang anda rasa di dalam jurnal anda. Jangan khuatir tentang tatabahasa, ejaan dan lain-lain, hanya fokus dengan emosi anda sahaja. Semoga dengan cara ini, emosi anda akan berasa lebih stabil.
Memenangi Setiap Hujah
Anda mungkin tidak dapat memenangi setiap hujah bersama teman sekerja anda. Akan tetapi, jika anda mendapati diri anda tergolong dalam perdebatan hangat semasa bekerja, adalah disarankan untuk anda sebagai teman sekerja atau pemimpin untuk meminta pihak berkenaan untuk memperjelaskan diri atau hujah mereka.
Tanyalah seberapa banyak soalan terhadap pihak tersebut dengan niat memberi isyarat bahawa anda memahami situasi mereka dan ingin mengajak mereka untuk memikirkan solusi yang berbeza dan efektif. Ianya sedikit sebanyak dapat membantu mengatasi konfrontasi yang ada lalu pantas mengembalikan suasana bekerja yang positif.
Apakah helah anda untuk menjadi lebih berjaya di dalam bidang yang anda ceburi? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa untuk ikuti Jobstore.com juga untuk peluang pekerjaan baru, tip temuduga, dan pelbagai lagi!
Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.
Reach me at: nurin@jobstore.com