Sekiranya anda bekerja di sebuah pejabat, maka anda pastinya sedar bahawa tempat kerja kadangkala ibarat sebuah ‘zoo’ yang dipenuhi dengan pelbagai jenis personaliti dan ragam. Keserabutan suasana dan persekitaran di pejabat umpama mempunyai kuasa magis yang boleh menunjukkan sisi personaliti pekerja yang kita tidak pernah saksikan.
Seperti dalam semua persekitaran kerja, salah satu cara untuk memperbaiki cara kita berinteraksi dan bekerja antara satu sama lain dengan baik adalah dengan mengenal pasti jenis personaliti, kelemahan dan kelebihan masing-masing. Tanpa inisiatif tersebut, kita akan mengalami kesukaran untuk bekerja dengan suasana yang positif.
Kenali lebih lanjut 10 personaliti pekerja di pejabat seperti berikut.
#1 Terlebih Komited
Kalau anda sedar, jenis pekerja yang terlebih komited ini jarang sekali mengatakan ‘tidak’ dan sentiasa menawarkan diri untuk melakukan semua perkara di pejabat malah selalu dilihat pulang lewat dari pejabat. Personaliti sebegini bagus untuk produktiviti di pejabat, tetapi ianya turut kadangkala menimbulkan ketidakselesaan buat pekerja yang lain.
#2 Ratu / Raja Gosip
Salah satu personaliti pekerja yang biasa dilihat di setiap tempat kerja. Mereka yang mempunyai personaliti sebegini suka bercerita hal orang lain dan mahukan perhatian. Sekiranya anda sering berinteraksi dengan mereka, sila lah berwaspada. Ini kerana terdapat kemungkinan mereka juga bergosip tentang perihal diri anda di belakang anda, walaupun jelas anda sudah mengetahui akan sifat mereka tersebut.
#3 Antisosial
Pekerja yang antisosial ini bukanlah ‘lonely’, mereka hanya merasa tenang bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Mereka juga tidak kisah jika tidak mempunyai rakan sekerja yang rapat kerana mereka boleh ‘survive’ berseorangan. Ianya juga amat jarang untuk berjumpa dengan mereka ini di apa-apa acara syarikat. Kadangkala waktu makan tengahari pun mereka boleh hilang begitu saja.
#4 Si Kepohchi
Personaliti pekerja yang ini berkait rapat dengan ratu / raja gosip, tetapi apa yang membezakan kedua-dua personaliti tersebut adalah si kepohchi merupakan seorang yang peramah dengan semua orang di pejabat. Personaliti sebegini selalu ‘volunteer’ jadi pengacara majlis atau yang sentiasa menang juara karaoke. Pejabat sudah tentunya akan berasa sunyi jika mereka ini tidak hadir ke pejabat.
#5 Si Drama Queen
Di setiap pejabat mesti terdapat seorang ‘drama queen’ di mana mereka ini suka meluahkan perasaan secara dramatik bagi menarik perhatian orang ramai. Kebanyakan ucapan dan tingkah laku mereka adalah untuk memperoleh simpati dari rakan sekerja. Si ‘drama queen’ ini juga susah untuk diharapkan dalam menyelesaikan tugasan kerana setiap keputusan dibuat berlandaskan emosi, lantas menganggu kualiti kerja.
#6 Yang Kelakar
Antara personaliti pekerja yang disenangi ramai adalah mereka yang digelar sebagai ‘office clown’. Tetapi, ada juga yang tidak senang dengan personaliti sebegini kerana sering dianggap tidak serius dengan pekerjaan. Mereka ini sering memeriahkan suasana, tanpa mereka pejabat mungkin berasa sunyi dan membosankan.
#7 Si Narsisistik
Bekerja bersama si narsisistik ini merupakan antara pengalaman kerja yang paling menjengkelkan. Individu sebegini cenderung untuk mempunyai kekurangan perasaan empati untuk pendapat orang lain, dan sentiasa inginkan pujian waima tugasan tertentu bukan datang dari usaha mereka sendiri. Jika anda mempunyai rakan sekerja narsisistik, jangan dilayankan perangai mereka itu!
#8 Pemimpin Sebenar
Pemimpin sebenar di pejabat adalah seorang yang dihormati, dikagumi dan dipercayai. Mereka ini mungkin bukanlah ‘boss’ besar, tetapi mereka memandang serius akan tugasan mereka. Boleh dikatakan seorang yang sosial, tetapi tidak sama tahap seperti si kepohchi atau ratu / raja gosip. Ini kerana mereka pandai seimbangkan keutamaan mereka.
#9 Yang Biasa-Biasa
Personaliti pekerja yang biasa-biasa ini juga dikenali sebagai pekerja yang ‘average’. Mereka ini boleh dilihat tidak selalu berinteraksi dengan yang lain, tetapi bukan juga seorang anti-sosial. Majikan sentiasa boleh harapkan mereka untuk kualiti kerja yang bagus dengan kehadiran yang cemerlang. Bukan seorang pemimpin, tetapi bukan juga seorang pemalas.
#10 Yang Chillax
Masih baru di pejabat dan ingin mencari rakan sekerja untuk berkawan? Pilihan terbaik adalah mereka yang ‘chillax’ ini. Mereka tidak masuk campur hal orang lain dan hanya fokus dengan kerja mereka sahaja. Bukan seorang yang terlebih komited ataupun pemalas, mereka hanya pandai menguruskan tekanan kerja dan ya, sentiasa ‘chillax’.
Justeru itu, yang mana satukah personaliti anda sebagai pekerja? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa ikuti Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.
Reach me at: nurin@jobstore.com