Kakeibo

Kakeibo: Seni Pengurusan Kewangan Rakyat Jepun

Posted by

Terdapat sesuatu mengenai budaya rakyat Jepun yang sentiasa mendapat tumpuan orang ramai di seluruh dunia. Antara perkara yang memukau netizen suatu ketika adalah di mana pernah viral tentang kebersihan longkang di suatu kawasan kediaman di Jepun yang mempunyai ikan koi di dalamnya. Kini trending pula seni pengurusan kewangan rakyat Jepun yang dikenali dengan nama ‘kakeibo’.

Siapa yang tidak mahu wang simpanan yang banyak bukan? Akan tetapi, tidak semuanya mempunyai tabiat kewangan yang baik. Dengan kos hidup yang semakin tinggi, menabung untuk kecemasan atau simpanan peribadi seolah-olah mustahil untuk dicapai. Malah, untuk mengubah tabiat kewangan yang buruk juga bukanlah senang.

Apa Itu Kakeibo?

Disebut “ka-keh-boh”, perkataan tersebut bermaksud “lejar kewangan isi rumah” dan dicipta oleh Hani Motoko; jurnalis perempuan pertama Jepun pada sekitar tahun 1904 dan 1905. Kakeibo tersebut merupakan teknik pengurusan kewangan yang mudah dan efektif dalam menguruskan kewangan anda untuk sesuatu bulan atau tahun.

Kakeibo: The Japanese Budgeting System

Teknik Pen dan Kertas Kakeibo

Setiap individu tidak kira tua atau muda akan merasa resah dengan situasi kewangan mereka dalam sesuatu masa. Oleh itu, teknik kakeibo yang mudah ini dapat membantu anda membiasakan diri untuk menabung. 

Lupakan aplikasi mudah alih atau excel sheet, teknik pengurusan kewangan tersebut hanya memerlukan pen dan kertas sahaja. Tambahan pula, bagi rakyat Jepun, teknik menulis adalah sebahagian cara bermeditasi kerana anda akan lebih peka dengan jumlah wang yang keluar masuk dari simpanan anda setiap bulan. 

Justeru itu, bagaimana hendak menggunakan kakeibo? Sebelum anda memulakan sesi budgeting, empat (4) soalan berikut adalah wajib untuk disoal pada diri sendiri:

  • Berapa banyak wang simpanan dan jumlah pendapatan yang anda ada?
  • Berapa jumlah yang anda mahu menyimpan?
  • Berapa banyak perbelanjaan anda dalam sebulan?
  • Aspek apakah yang boleh diperbaiki?

Kakeibo Questions

Cara Berbelanja Mengikut Seni Kakeibo

Pecahkan perbelanjaan mengikut kategori

Setelah anda menjejak jumlah perbelanjaan anda dalam sebulan, pecahkan pula kesemua perbelanjaan tersebut mengikut kategori seperti ‘keperluan’ dan ‘kemahuan’ ke dalam lejar kakeibo anda. Kedua-dua kategori lalu dipecahkan lagi ke bahagian-bahagian yang lebih kecil seperti:

  • Asas: Bahagian ini termasuk segala keperluan penting anda seperti bil elektrik, duit sewa rumah, pengangkutan, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, internet, bil telefon, penjagaan anak dan sebagainya. 
  • Hiburan: Bahagian yang ini termasuk online shopping, Netflix dan apa sahaja bentuk hiburan yang anda sukai atau langgani. Ianya termasuk dalam kategori ‘kemahuan’.
  • Kecemasan: Duit kecemasan termasuk situasi ketika kereta perlu dihantar ke bengkel, kemalangan, bil hospital dan sebagainya. Ianya termasuk di dalam kategori ‘keperluan’.
  • Budaya: Budaya yang dimaksudkan termasuklah belanja untuk penjagaan diri seperti spa, menonton wayang, langganan majalah, pergi ke salon rambut dan sebagainya. Bahagian ini tergolong sebagai ‘kemahuan’.

Semak baki bank dengan kerap

Secara peribadi, saya kerap menyemak baki bank setiap kali sebelum berbelanja dan lama-kelamaan ianya menjadi suatu bentuk tabiat yang saya senangi. Cara tersebut dapat membantu mengawal kewangan peribadi kerana anda akan sentiasa peka dengan jumlah wang yang keluar masuk setiap kali berbelanja.

Berbelanja secara tunai

Berbelanja secara tunai pada pendapat saya adalah lebih selamat berbanding dengan berbelanja tidak ingat dunia menggunakan kad kredit atau debit. Ianya membantu dalam mengawal nafsu shopping anda. Cuba anda keluarkan sejumlah wang untuk digunakan selama seminggu dan hanya berbelanja dengan jumlah wang yang ada sahaja.

Tangguh membeli barang selama 24 jam

Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana anda teringin sangat sesuatu barang dan setelah anda berasa mampu untuk membeli barang tersebut, fikiran anda mengatakan ‘tidak perlu lah, bukan penting pun’? Ha, jika pernah, elok anda tangguh dahulu daripada membeli barang tersebut selama 24 jam. Sekiranya keesokan hari keinginan itu masih ada, anda boleh lah teruskan niat anda tersebut!

Ubah persekitaran anda

Ubah persekitaran anda dengan unfollow atau batalkan langganan mana-mana influencer atau jenama yang anda ikuti di media sosial peribadi. Ataupun, jika anda seorang yang sering berbelanja untuk benda yang anda sendiri tidak perlukan ketika masa lapang, anda boleh ubah persekitaran tersebut dengan perkara yang lebih berfaedah seperti joging atau apa sahaja hobi yang anda sukai. 

Seni kakeibo umumnya membantu seseorang berbelanja dengan lebih hemat. Ianya mengajar individu bahawa mereka masih boleh membelanja diri sendiri perkara-perkara yang diingini, tetapi masih boleh dan mempunyai simpanan yang mencukupi untuk keperluan asas, kecemasan dan lain-lain.

Cuba lah teknik pengurusan kewangan kakeibo tersebut dan kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Ikuti Jobstore.com untuk informasi gaya hidup, kerjaya dan peluang pekerjaan baru!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *