Cara Tolak Tawaran Kerja Secara Berhemah

Cara Tolak Tawaran Kerja Secara Berhemah

Posted by

Ditamatkan perkhidmatan secara tiba-tiba boleh menjadikan seseorang naik gila dalam mencari kerjaya baharu. Habis semua laman cari kerja secara atas talian diteroka hinggakan tidak terkira berapa banyak resume yang dihantar mahu pun jumlah temu duga yang dihadiri di merata tempat.

Dalam keadaan yang cukup terdesak akibat kehilangan pekerjaan, tentunya anda akan merebut apa sahaja tawaran kerja yang datang. Bukan apa, kalau mahu menunggu maklum balas sesi temu duga bagi jawatan atau organisasi yang diidamkan bimbang nanti kecewa. Bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Namun, bagaimana keadaannya jika selepas menyatakan persetujuan itu tiba-tiba anda menerima khabar gembira daripada beberapa syarikat lain yang turut menawarkan peluang kerjaya di organisasi mereka? 

Berada dalam situasi tersebut tentunya akan membuatkan anda buntu memikirkan cara terbaik untuk menolak tawaran yang diberikan dengan berhemah. Usah berlengah lagi, segera maklumkan perkara itu kepada pegawai sumber manusia yang berkenaan sama ada melalui panggilan telefon atau kiriman email.

 

Langkah 1 : Tunjukkan penghargaan

Paling utama, ucapkan terima kasih kepada pegawai bertugas atas masa yang diluangkan untuk memaklumkan khabar gembira itu.

Contoh :

  • “Terima kasih atas tawaran sebagai eksekutif media sosial. Saya sangat menghargai masa Tuan/Puan sepanjang proses permohonan saya dan menjawab segala persoalan tentang syarikat dan tugas-tugas.”

 

  • “Terima kasih untuk panggilan ke sesi temu duga pada minggu lalu, seronok dapat bertemu pengurusan atasan  di pejabat. Saya juga menghargai tawaran yang diberikan.”

 

Langkah 2 : Berikan alasan terbaik, ringkas

Hargai masa pegawai sumber manusia dan jangan biarkan mereka tertanya-tanya sebab anda melepaskan tawaran kerja itu. Pastikan alasan yang diberikan ringkas dan jujur misalnya :

  • “Selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya, saya memutuskan menerima tawaran bekerja di syarikat lain.”

 

  • “Walaupun jawatan ini mampu memberi peluang yang bagus tetapi saya mahu meneruskan minat dan kemahiran dalam bidang pemasaran dan media sosial.”

 

Kemudian beri huraian, contohnya : 

  • “Saya telah menerima tawaran lain yang dilihat dapat membantu ke arah matlamat kerjaya.”

Sebaliknya, jika anda merasakan kerjaya itu tidak menarik maka berterus-terang dengan mengatakan “Jawatan yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan matlamat kerjaya saya pada masa ini.”

 

Tetapi bagaimana pula keadaannya jika anda tiba-tiba berubah fikiran dan mahu melepaskan tawaran kerja yang telah dipersetujui sebelum ini. Ikuti langkah-langkah di bawah :

  • Kenal pasti tujuan anda melepaskan tawaran itu
  • Rujuk maklumat dalam kontrak
  • Mohon maaf dan jaga adab
  • Nyatakan alasan terbaik
  • Ucapan terima kasih atas tawaran yang diberikan

 

Selagi anda tidak menandatangani sebarang perjanjian, tidak ada masalah untuk anda menolak tawaran kerja yang telah dipersetujui dan jika sebaliknya, rujuk dengan peguam untuk mencari jalan penyelesaian. Sebarang pendapat kongsikan di ruangan komen di bawah dan terus ikuti Jobstore.com untuk  pelbagai peluang pekerjaan di Malaysia.

 


Rosalinda is a content writer who writes career-related and lifestyle contents in Malay language. Rosalinda has a sweet tooth and can’t resist ice-cream.

Reach me at rosalinda@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *