Apabila anda berhutang kemudian anda sering lambat atau tidak membuat bayaran balik pinjaman, anda sebenarnya bakal berhadapan dengan kesukaran untuk mendapat akses kepada kemudahan perkhidmatan kewangan lain pada masa akan datang.
Jadi, bagaimana untuk pastikan anda berupaya untuk menguruskan hutang dengan baik?
Berikut kami kongsikan tujuh perkara yang anda wajib buat apabila berhutang yang dikongsikan dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM).
1. Bayar tepat pada masanya!
Apabila anda berhutang, pastikan anda mampu untuk buat bayaran tepat pada waktunya. Ia penting bagi memastikan rekod kredit anda bersih. Anda juga perlu melunaskan bayaran bulanan secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang denda atau caj pembayaran lewat.
2. Pastikan anda mampu bayar penuh
Apabila anda beli barang secara ansuran, pastikan anda mampu bayar dengan harga penuh, bukan sekadar ansuran sahaja. Sekiranya harga penuh barangan tersebut masih di luar kemampuan anda, tangguh dahulu pembelian tersebut.
Selain itu, anda juga perlu beri perhatian kepada tarikh akhir pembayaran bagi mengelakkan caj dan hutang yang bertimbun.
3. Nilai keupayaan bayar balik pinjaman
Pakar kewangan mengesyorkan agar seseorang individu itu perlu menyimpan 10 hingga 20 peratus daripada pendapatannya. Namun, ada juga pakar kewangan lain yang mencadangkan agar jumlah bayaran balik hutang anda perlu berada di bawah paras 40 peratus daripada jumlah pendapatan.
Namun, anda perlu pertimbangkan perbelanjaan anda terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pinjaman. Sekiranya perbelanjaan anda adalah tinggi, anda perlu lebih berhati-hati membuat pinjaman.
4. Ketahui hak sebagai penghutang
Sekiranya anda didatangi pemungut hutang, anda boleh minta kad kuasa atau notis bertulis daripada pihak bank. Pastikan pemungut hutang tidak berbuat sesuka hati mereka antaranya:
- Mengugut atau menggunakan kata-kata kesat untuk menakut-nakutkan anda
- Merosakkan atau mengambil barangan peribadi
- Menceroboh kawasan kediaman
- Datang ke tempat kerja kecuali jika anda tidak dapat dihubungi di kediaman atau anda membenarkan mereka datang
- Mengganggu ahli keluarga, jiran, kawan-kawan atau majikan bagi mendapatkan maklumat keberadaan anda
- Menghubungi anda dengan kerap untuk mengganggu
- Menghubungi anda pada waktu yang tidak munasabah kecuali antara 8.00 pagi hingga 9.00 malam
5. Utamakan yang tinggi
Apabila menyusun bajet atau belanjawan, utamakan pembayaran hutang yang mempunyai kadar keuntungan atau faedah yang lebih tinggi. Ini kerana hutang-hutang ini memberi kesan yang lebih besar kepada kewangan anda sekiranya anda lambat atau tidak mampu bayar.
6. Semak pelan pengurusan kewangan anda
Sentiasa semak pelan pengurusan kewangan anda dengan mengambil kira keadaan kewangan semasa serta jangkaan kewangan pada masa hadapan. Sekiranya anda perlukan nasihat, AKPK menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan dan pengurusan hutang untuk individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana secara percuma.
7. Dapatkan bantuan sekiranya mempunyai masalah
Sekiranya anda berhadapan dengan masalah yang menyebabkan anda tidak mampu untuk membayar hutang tepat pada masanya, dapatkan bantuan dengan segera.
Anda boleh berbincang dengan pihak bank sebaik sahaja anda berhadapan dengan masalah untuk membuat bayaran balik. Anda juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan khidmat nasih kewangan. Sekiranya anda berhadapan masalah dengan bank, anda boleh membuat aduan menerusi BNMTELELINK.
Semoga perkongsian ini memberi pengetahuan baru buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com