Hari Thaipusam adalah perayaan penganut Hindu yang diraikan terutamanya oleh kaum India dari masyarakat Tamil. Perayaan ini merupakan simbolik penyucian diri dan menebus dosa.
Sebagai perayaan yang terbesar bagi penganut Hindu selepas Hari Deepavali, ia disambut dengan pelbagai adat dan ritual keagamaan tradisional.
Berikut kami kongsikan 7 fakta menarik sambutan Hari Thaipusam dan bagaimana ia disambut di Malaysia.
1. Thaipusam disambut pada bulan ke-10 kalender tamil
Perkataan Thaipusam adalah gabungan perkataan “Thai” yang bermaksud bulan ke-10 dan “pusam” adalah nama bintang. Seperti namanya, perayaan ini disambut apabila bintang bersinar paling terang, biasanya pada bulan Januari atau Februari mengikut kalendar Tamil Almanac.
2. Sebagai tanda penghormatan kepada Dewa Murugan
Thaipusam disambut sebagai tanda penghormatan kepada dewa Hindu iaitu Dewa Murugan atau dikenali juga sebagai Subramaniam. Majoriti penyembah Murugan adalah berasal dari masyarakat Tamil atau kawasan selatan India.
Murugan merupakan salah satu dari anak dewa utama iaitu Siva. Patung besar di Batu Caves merupakan patung Murugan yang terbesar di Asia Tenggara.
Hari Thaipusam juga disambut sebagai tanda memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat serta mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan manusia.
3. Penganut mencucuk kulit mereka
Semasa Thaipusam, para penganut akan mencucuk lidah, pipi, dan juga muka mereka dengan objek tajam. Ini bagi melambangkan beban yang dipikul oleh mereka. Tetapi, mereka perlu berpuasa selama 48 hari sebelum upacara itu dilaksanakan
4. Penganut membawa kavadi
Kavadi berasal daripada perkataan ‘kaavu’ dan ‘tadi,’ bermaksud tiang yang digunakan untuk membawa barang. Kavadi (beban) paling kerap dikaitkan dengan Thaipusam. Kavadi biasanya ia dibawa oleh penganut lelaki, struktur separuh bulatan yang besar dilekatkan pada badan pembawa melalui cangkuk dan rantai. Wanita pula lazimnya akan membawa periuk susu perak yang dipanggil “paal kudam”, dan mungkin juga mempunyai bahagian badan mereka yang tertusuk.
Terdapat beberapa jenis kavadi, dan salah satu yang paling menonjol ialah Puspha Kavadi yang dihiasi dengan bunga dan disandang di bahu.
Jenis kavadi lain termasuk Alangara Kavadi, dihiasi dengan motif burung merak dan imej Dewa Murugan, dan Karumbu Toddi, di mana kedua-dua ibu bapa membawa anak mereka dibundel dengan tebu sebagai tanda pengabdian dan kesyukuran untuk kanak-kanak itu.
5. Persiapan penganut Hindu sebelum Thaipusam
Bagi kebanyakan penganut, persiapan Thaipusam tidak bermula beberapa hari sebelum perayaan atau pada hari perayaan itu sendiri. Sebaliknya, persiapan bermula 48 hari (satu mandala) sebelum perayaan Thaipusam.
Dalam mempersiapkan diri, mereka perlu dibersihkan daripada segala kekotoran fizikal dan mental serta perlu menjalani kehidupan yang sangat sederhana. Misalnya:
- Berpuasa atau makan hanya satu hidangan vegetarian ringkas atau buah-buahan dan susu sehari
- Mandi air sejuk
- Tidak menghisap rokok, tidak minum minuman beralkohol atau memabukkan
- Perlu tidur di atas lantai
- Bagi lelaki, biasanya tidak mencukur atau memotong rambut dalam tempoh ini
- Doa yang berterusan, poojas, nyanyian mantra, nyanyian pujian, pembacaan Sastra dan buku rohani dan zikir kepada Dewa Murugan
6. Sambutan Hari Thaipusam yang pertama di Malaysia
Perayaan Hari Thaipusam dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 1800-an ketika pendatang India mula bekerja di ladang getah Malaysia dan pejabat kerajaan.
Sambutan pertama berlaku pada tahun 1888 bertempat di Batu Caves dan semenjak itu, sambutan Hari Thaipusam semakin meriah di Malaysia.
7. Laungan “Vel! Vel!”
Menurut satu tradisi, Thaipusam dikatakan tercipta apabila berlaku satu pertembungan antara satu Asura (makhluk jahat) bernama Surapadma dengan para dewa.
Para dewa tidak dapat mengekang kejahatan Surapadma, lantas merayu kepada Dewa Shiva untuk mengurniakan mereka pemimpin yang dapat mengalahkan Surapadma.
Maka dengan kuasa Achintya Shakti dimilikinya, diciptakan satu pahlawan unggul sebagai Dewa Peperangan bernama Murugan, yang turut dikenali dengan nama Subramaniam, Skanda, Kumara dan Kartikeya.
Kemudian isteri Shiva, Parvati mengurniakan kepada anaknya Murugan senjata suci berupa lembing dipanggil ‘Vel’ yang akhirnya berjaya menyatukan kuasa alam semesta dan mengalahkan Surapadma serta konco-konconya.
Maka setiap kali sambutan Thaipusam, ‘Vel! Vel!’ dilaungkan mengikut rentak paluan genderang yang begitu mengasyikkan, sempena memperingati kejayaan menghapuskan ‘kegelapan’ menggunakan senjata sakti itu.
Laungan ‘Vel! Vel!’ juga membawa maksud ‘lembing kemenangan!’.
Semoga perkongsian kami ini memberi ilmu baru buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
Sumber: Astro Awani, The Smart Local, Masses
Hanis Izzatul, is a digital writer who writes about careers, lifestyle, and current trending content to engage Malay readers, informing them about the latest trends happening around. Hanis also are into arts, music, film, and gigs.
Reach me at hanis@jobstore.com