Tukar kerjaya boleh menjadi satu perubahan yang menggembirakan dan juga menakutkan. Pertukaran kerjaya akan menawarkan peluang baharu dan pertumbuhan peribadi, tetapi ia juga datang dengan cabarannya yang tersendiri.
Sebelum anda tukar kerjaya, terdapat 7 kesalahan yang anda perlu elakkan.
1. Tukar kerjaya sebab ia satu trend
Kerjaya sebagai seorang pekerja bebas (freelancer) menjadi satu trend sekarang ini dan ia jelas kelihatan lebih menyeronokkan. Tapi, adakah anda mempunyai semua kemahiran yang diperlukan?
Mengambil keputusan untuk bekerja dalam bidang atau pekerjaan yang tidak diminati mungkin lebih merugikan daripada terus berada dalam jawatan dan syarikat semasa.
2. Tukar kerjaya tanpa mempunyai wang simpanan
Pastikan sebelum anda tukar kerjaya, anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya simpanan selama enam bulan untuk situasi yang tidak dijangka.
Contohnya, situasi seperti kemungkinan syarikat baharu yang anda mahu bekerja itu tidak memerlukan pekerja baharu atau tawaran kerja ditarik semula.
3. Tukar kerjaya sebab bosan
Anda mungkin sudah merasa bosan dan jemu dengan rutin harian yang sama sehingga terfikir untuk tukar kerjaya/berhenti kerja. Sebelum membuat keputusan, tanya diri sendiri, adakah tindakan ini akan menyelesaikan masalah?
Tanpa mengetahui sebabnya, menukar kerjaya atau berhenti kerja sebenarnya hanya melarikan diri dari masalah. Walaupun anda akan mendapat kerja baharu, kemungkinan besar, apabila anda mula bekerja, rasa bosan akan kembali menghantui anda.
4. Gaji
Hidup perlukan duit, tapi kita tidak akan pernah cukup wang atau harta benda.
Sekiranya anda menemui peluang pekerjaan yang diminati dengan tawaran gaji yang lebih tinggi, jangan lepaskan peluang begitu sahaja.
Walau bagaimanapun, pertimbangkan juga aspek lain. Jangan terlalu terpesona dengan jumlah gaji yang ditawarkan kerana gaji yang lumayan, selalunya hadir dengan tanggungjawab yang besar.
5. Berfikir bahawa proses berhenti dan mencari kerja itu mudah
Menukar kerjaya boleh menjadi satu perkara yang mudah dan mungkin juga sukar, bergantung kepada rezeki masing-masing. Tetapi ia adalah lebih baik sekiranya anda tidak meletakkan jangkaan terlampau tinggi agar anda tidak kecewa dan hilang semangat setelah proses itu.
Perubahan selalunya datang dengan cabaran. Penting untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran awal apabila beralih ke kerjaya baharu.
6. Pandang rendah dengan perubahan
Memilih untuk melakukan penukaran kerjaya adalah satu langkah yang berani. Walau bagaimanapun, pastikan anda berhati-hati agar pekerjaan baharu itu tidak menyebabkan konflik dengan nilai dan keutamaan anda.
Contohnya, kerjaya baharu melibatkan tahap aktiviti media sosial yang tinggi tetapi anda tidak biasa mengendalikan media sosial, ini mungkin akan menjejaskan keupayaan anda untuk melakukan tanggungjawab kerja dengan baik.
7. Hadkan pilihan
Sekiranya anda berfikir untuk melakukan penukaran kerjaya, maka sudah tiba masanya untuk mengetepikan keraguan tentang kebolehan anda. Sebaliknya, mula meneroka setiap minat dan bakat dengan fikiran yang terbuka.
Luaskan pembacaan mengenai pelbagai pilihan kerjaya yang mungkin belum pernah anda pertimbangkan sebelum ini. Anda juga boleh mencuba kerja sukarela sebagai percubaan.
Kesimpulannya, elakkan membataskan pilihan anda kepada perkara yang telah anda lakukan sebelum ini. Gunakan peluang ini sebagai platform untuk meneroka aspek diri yang berbeza.
Semoga perkongsian kami ini memberi manfaat buat anda yang memerlukannya.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!