Memetik laporan Conde Nast Traveler Reader’s Choice Awards 2024, Langkawi yang juga dikenali sebagai permata Kedah telah mencuri perhatian dunia apabila tersenarai dalam 10 Pulau Terbaik Asia.
Artikel berkaitan: Bukit Bintang Tersenarai Sebagai Salah Satu Destinasi Pelancongan Paling ‘Overrated’ Di Asia
Langkawi menduduki tangga ke-2 dalam senarai pulau terbaik di Asia selepas mendapat undian dari pembaca penerbitan pelancongan terkemuka itu.
Seperti yang kita ketahui, Langkawi sememangnya terkenal dengan gabungan unik pantai yang bersih, hutan hujan yang subur dan turut diiktiraf melalui pengisytiharannya sebagai Unesco Global Geopark.
Ia diserlahkan lagi oleh pulau-pulau lain seperti Pulau Dayang Bunting, pulau kedua terbesar di Langkawi, yang menambah keindahan serta mitos kepada destinasi ini.
Selain tarikan semula jadi, Langkawi turut menawarkan pelbagai hotel dan resort mewah, yang menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.
Gabungan antara hospitaliti bertaraf dunia dengan suasana alam yang memukau telah menjadikan pulau ini sebagai lokasi percutian terbaik untuk pelancong yang mencari ketenangan dan kemewahan.
Salah satu tempat yang wajib dilawati ialah Taman Geoforest Kilim, yang terkenal dengan hutan bakau, lagun, dan pantai-pantai yang mempesonakan.
Pengunjung juga dapat merasai pemandangan yang menakjubkan dari SkyCab yang membawa mereka ke Eagle’s Nest, menawarkan panorama yang mempesona dari Laut Andaman.
Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), turut berasa bangga terhadap pencapaian ini.
Menurut beliau, anugerah ini adalah pencapaian yang luar biasa, mencerminkan dedikasi mereka terhadap pelancongan lestari dan usaha memelihara Geopark UNESCO yang unik di Langkawi.
Pengiktirafan yang diberikan melalui undian pelancong itu semakin mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai salah satu destinasi utama di peringkat global.
Datuk Haslina turut menyatakan rasa teruja untuk terus menerima kedatangan pengunjung dari seluruh dunia.
Langkawi kini berada dalam senarai elit bersama destinasi ikonik Asia lain seperti Boracay, Phuket, Palawan, dan Bali, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai salah satu permata pelancongan Asia.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!