RTM Didakwa Culas Bayar Gaji & Masih Pakai Sistem Lama? Pekerja Ini Luah Rasa Kecewa

RTM Didakwa Culas Bayar Gaji & Masih Pakai Sistem Lama? Pekerja Ini Luah Rasa Kecewa

Posted by

Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau Jabatan Penyiaran Malaysia baru-baru ini berhadapan dengan kontroversi apabila salah seorang pekerjanya tampil mendedahkan sisi gelap syarikat tersebut iaitu tentang isu tunggakan gaji.

Artikel berkaitan: Stesen TV Milik Pengacara Popular Culas Bayar Gaji Pekerja?

Isu ini bermula daripada sebuah hantaran di Linkedin dan kemudiannya tular di laman X. Dalam catatan tersebut, Noor Ainun Jariah Noor Harun yang merupakan editor bahasa Inggeris mendedahkan bahawa meskipun sudah hampir dua bulan berkhidmat, beliau masih belum menerima gaji pertamanya.

Menurut Noor Ainun, pelbagai alasan diberikan oleh pihak atasan, antaranya “admin bercuti,” “admin sakit,” dan “admin baru.”

Walaupun pihak syarikat kerap kali memberi jaminan bahawa gaji akan dibayar meskipun lambat, beliau menganggap sikap sebegini adalah sama sekali tidak bertanggungjawab.

“Bagaimana pekerja mampu bertahan tanpa gaji yang dibayar tepat pada masanya?” soal Noor Ainun yang menggambarkan kekecewaan di kalangan pekerja RTM.

Sebelum ini, Noor Ainun sudah beberapa kali melaporkan isu ini kepada pihak atasan, namun masalah ini masih belum selesai.

“Saya tahu sesetengah pihak mungkin mencadangkan untuk memfailkan aduan rasmi atau menghantar e-mel kepada Ketua Pengarah RTM atau mana-mana pihak atasan lain.

“Biar saya beri jaminan kepada anda, langkah-langkah ini telah diambil berkali-kali oleh orang lain. Adakah terdapat penyelesaian? Malangnya, tidak.

“Isu ini ditangani dengan penyelesaian sementara dan bukannya penyelesaian kekal. Sistem itu sendiri sudah lapuk dan tidak cekap.

“Contohnya, mesin rekod kehadiran kerap kali rosak, memaksa pekerja mengisi borang hanya untuk mengesahkan masa masuk kerja kami,” tulisnya.

Tambah Noor Ainun lagi, sebagai seorang editor yang sering melaporkan inisiatif kerajaan untuk mendigitalkan sistem dan meningkatkan kelestarian, dia tidak dapat menahan ironi situasi ini.

“Kerajaan bercakap tentang digitalisasi dan kelestarian setiap hari, namun di RTM, pekerja masih bergantung kepada sistem manual dan perlu mencetak borang tanpa henti. Di manakah kelestariannya?” tulisnya dengan nada kecewa.

Noor Ainun kini tidak lagi berharap kepada pihak RTM, sebaliknya menggesa tindakan daripada Kementerian Komunikasi.

Noor Ainun juga turut mempersoalkan layanan kepada pekerja kontrak dan pekerja sambilan yang dikatakan seolah-olah tidak dihargai. 

“Mengapa pekerja kontrak dilayan sebegini? Adakah kami tidak penting?” tulisnya.

Noor Ainun menggesa campur tangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk menyelesaikan masalah ini.

Noor Ainun juga berkata bahawa pihaknya tidak akan berhenti bersuara sehingga menerima respons daripada pihak tertinggi.

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *