Dengan berbaki beberapa minggu sahaja lagi sebelum kita melangkah ke tahun 2025, pasti ada antara anda yang telah mula mencari peluang pekerjaan baru, atau graduan yang sedang mencari bidang kerjaya yang sesuai.
Menjelang tahun 2025, beberapa bidang pekerjaan diramal mempunyai permintaan tinggi sejajar dengan perkembangan teknologi dan perubahan dalam keperluan pasaran.
Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan pilihan kerjaya yang dijangka akan menjadi semakin popular dan mendapat permintaan yang tinggi pada tahun 2025.
1. Pakar Kecerdasan Buatan dan Pembelajaran Mesin (Machine Learning)
Kemajuan pesat dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin telah membawa perubahan besar dalam pelbagai sektor, termasuk kesihatan, kewangan, dan perkilangan.
Pakar dalam bidang ini kini sangat diperlukan untuk merancang, melatih, dan menyelenggara sistem AI yang dapat mempertingkatkan produktiviti serta kecekapan operasi organisasi.
Sebagai contoh, penggunaan AI dalam mengesan penipuan kewangan, robotik pembedahan, dan automasi perkilangan semakin mendapat penerimaan yang meluas.
Bagi mereka yang berminat untuk mendalami bidang ini, latar belakang dalam sains komputer, matematik, atau kejuruteraan merupakan satu kelebihan yang sangat dihargai.
2. Pakar Keselamatan Siber (Cyber Security Expert)
Saban tahun, ancaman siber seperti serangan penggodam dan kecurian data semakin meningkat, dan ini menyebabkan organisasi mencari pakar keselamatan siber yang cekap untuk melindungi sistem mereka.
Pekerjaan ini memerlukan individu untuk melakukan tugas-tugas seperti menganalisis risiko keselamatan, merancang strategi perlindungan dan bertindak balas terhadap masalah siber.
Individu yang mempunyai pengetahuan dalam keselamatan rangkaian, kriptografi dan undang-undang siber mempunyai peluang cerah dalam bidang ini.
3. Penganalisis Data dan Saintis Data (Data Analyst and Data Scientist)
Dalam dunia sekarang, data merupakan aset yang sangat berharga. . Organisasi di seluruh dunia menggunakan data untuk membuat keputusan strategik, memahami keperluan pelanggan dan meningkatkan operasi.
Disebabkan itu, Penganalisis Data dan Saintis Data memainkan peranan besar untuk merealisasikan usaha kebanyakan syarikat besar.
Individu yang mempunyai mempunyai kemahiran dalam bahasa pengaturcaraan seperti Python dan R serta pemahaman berkaitan statistik memang sangat sesuai dengan pekerjaan ini.
4. Pereka Pengalaman Pengguna (UX Designer)
Kini, sektor e-dagang dan aplikasi mudah alih semakin mendominasi, berikutan kemudahan dan kebolehcapaian yang semakin baik kepada pengguna. Oleh itu, pengalaman pengguna (UX) telah menjadi elemen yang amat penting bagi syarikat dalam menyediakan produk digital yang menarik dan berkesan.
Pereka Pengalaman Pengguna (UX Designer) bertanggungjawab untuk memastikan aplikasi atau laman web yang dibangunkan adalah mesra pengguna, menarik, dan mampu memenuhi keperluan serta kehendak pengguna.
Pekerjaan ini memerlukan pemahaman tentang psikologi pengguna, reka bentuk berpusatkan pengguna (user-centered design) dan kemahiran menggunakan perisian seperti Figma atau Adobe XD.
Permintaan terhadap UX Designer dijangka terus meningkat sejajar dengan evolusi teknologi digital.
5. Pakar Penjagaan Kesihatan Digital (Digital Healthcare Expert)
Perkhidmatan kesihatan kini semakin bergantung pada teknologi untuk mempertingkatkan kualiti rawatan. Pakar dalam bidang penjagaan kesihatan digital, termasuk pakar teleperubatan dan penganalisis data kesihatan, dijangka akan mengalami peningkatan permintaan yang ketara menjelang tahun 2025.
Pekerjaan ini melibatkan integrasi teknologi seperti aplikasi kesihatan, alat pemantauan jauh dan analisis data pesakit untuk memberikan rawatan yang lebih cekap dan mudah diakses.
6. Pakar Tenaga Hijau (Green Energy Expert)
Kesedaran terhadap perubahan iklim semakin meningkat, mendorong banyak negara dan organisasi untuk beralih kepada sumber tenaga hijau seperti solar dan angin.
Langkah ini secara tidak langsung telah membuka pelbagai peluang pekerjaan dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan tenaga boleh diperbaharui, penyelidikan tenaga hijau, serta pengurusan projek tenaga lestari.
Individu yang mempunyai latar belakang dalam kejuruteraan elektrik atau sains alam sekitar serta keprihatinan terhadap kelestarian boleh menjadikan bidang ini sebagai pilihan kerjaya.
Kesimpulannya, untuk terus kekal relevan dalam pasaran kerja, individu perlu sentiasa mengasah kemahiran mereka melalui kursus dalam talian, latihan praktikal, atau pendidikan formal.
Selain itu, kemahiran insaniah seperti komunikasi, kreativiti, dan penyelesaian masalah juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mencapai kejayaan kerjaya, walaupun dalam bidang yang berorientasikan teknikal.
Semoga perkongsian kami ini memberi manfaat dan panduan buat anda.
Artikel berkaitan: Jumlah Gaji Di Malaysia Dijangka Naik 5% Pada Tahun 2025
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
