Petronas akan laksanakan penyelarasan saiz syarikat secara berperingkat bermula pertengahan tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Aziz.
Beliau yang juga merupakan presiden Petronas berkata, langkah itu adalah bagi memastikan operasi syarikat lebih cekap dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan landskap industri global.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan kajian menyeluruh terhadap operasi dan keperluan tenaga kerja semasa.
“Right-sizing bukan bermaksud pembuangan pekerja secara mendadak, tetapi lebih kepada menyesuaikan tenaga kerja mengikut keperluan sebenar organisasi mengikut situasi semasa,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan kewangan 2024 Kumpulan Petronas.
Petronas pada awal bulan ini mengumumkan ia akan melaksanakan langkah ‘penyusunan semula’ untuk memastikan syarikat itu dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Pada masa ini, Petronas mempunyai tenaga kerja seramai 52,000 orang dan 16,000 daripadanya terdiri daripada pemangkin utama.
“Syarikat menolak dakwaan bahawa seluruh tenaga kerja ini akan diberhentikan. Peranan penting seperti akaun, kewangan dan sumber manusia akan terus dikekalkan bagi menyokong operasi syarikat.
“Adakah benar kita akan menghapuskan semua 16,000 pekerja? Itu tidak mungkin. Operasi tidak boleh berjalan tanpa struktur sokongan yang kukuh,” katanya.
Beliau menegaskan tiada pembuangan pekerja, sebaliknya Petronas sedang menilai keperluan tenaga kerja bagi memastikan organisasi yang lebih cekap.
Selain itu, Petronas menegaskan sebarang perubahan akan dilakukan dengan penuh pertimbangan dan tanggungjawab, serta memastikan pekerja yang terlibat diberikan layanan yang adil, di mana kesejahteraan mereka akan dijaga sepanjang proses tersebut.
“Sebarang perubahan yang membabitkan tenaga kerja akan dilakukan secara teliti dan berhati-hati.
“Ini bukan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa atau atas dasar kepentingan segelintir pihak.
“Jika terdapat sebarang pengurangan, ia akan bermula dari peringkat pengurusan terlebih dahulu,” katanya.
Menurut Tengku Muhammad lagi, dengan cabaran industri tenaga yang semakin kompleks, strategi right-sizing ini merupakan salah satu langkah dalam transformasi Petronas untuk menjadi lebih berdaya saing dan peka terhadap perubahan pasaran global.
“Syarikat komited untuk terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara sambil memastikan tenaga kerja kekal relevan dan produktif dalam era perubahan ini,” katanya.
Artikel berkaitan: PETRONAS Diiktiraf Sebagai Jenama Minyak Dan Gas Terkuat Dunia 2024!
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
