Menurut laporan Workmonitor Malaysia 2025 oleh Randstad, ramai pekerja di Malaysia memilih untuk bekerja dalam persekitaran yang positif dan harmoni dan akan berhenti kerja sekiranya berada dalam persekitaran toksik.
Artikel berkaitan: Hentikan 10 Budaya Toksik Ini Di Tempat Kerja Anda!
Menurut agensi tenaga kerja global itu, sebanyak 59 peratus pekerja di Malaysia berkemungkinan besar akan meletak jawatan jika bekerja dalam persekitaran toksik, ia merupakan angka tertinggi di kawasan Asia Pasifik.
Kajian tersebut turut mendedahkan bahawa mewujudkan komuniti tempat kerja yang positif bukan hanya akan meningkatkan kebahagiaan dan produktiviti, tetapi juga memberikan kelebihan strategik kepada majikan yang mahu menarik bakat, sekaligus mengelakkan persaingan sengit dalam merekrut pekerja dengan gaji tinggi.
Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem, menyatakan bahawa mencipta pengalaman yang luar biasa untuk pekerja bermakna membina persekitaran di mana mereka datang bekerja dengan rasa percaya dan saling menghargai antara satu sama lain.
Menurut beliau, apabila pekerja merasa terhubung, mereka lebih cenderung untuk melakukan yang terbaik.
Laporan tersebut juga menunjukkan 48 peratus responden akan menolak tawaran kerja daripada syarikat yang mereka tahu tidak memupuk budaya tempat kerja yang positif secara aktif.
Perkara itu adalah yang paling ketara dalam kalangan pekerja Gen Z (59 peratus) dan Gen X (50 peratus).
Seramai 61 peratus responden, atau tiga daripada lima, berkata mereka akan mempertimbangkan untuk meletak jawatan sekiranya merasa tidak diterima di syarikat, manakala 16 peratus pula akan berhenti kerana kekurangan rakan di tempat kerja, dengan fenomena ini paling ketara dalam kalangan golongan Gen Z (28 peratus).
Tambah Fahad, dari sudut positif, pekerja menyatakan bahawa mereka dapat memberikan prestasi yang lebih baik apabila mereka merasa terhubung dengan rakan sekerja. Beliau juga berkata, lebih daripada sembilan daripada 10 responden mengatakan mereka dapat bekerja dengan lebih baik sekiranya merasakan wujudnya komuniti (93 peratus) dan mempunyai hubungan rapat dengan rakan sekerja (91 peratus). Malah, 33 peratus responden sanggup menerima gaji yang lebih rendah sekiranya mereka mempunyai rakan baik di tempat kerja, dengan Gen Z (37 peratus) dan baby boomer (44 peratus) menjadi golongan yang paling banyak menunjukkan trend tersebut.
Kajian Randstad Workmonitor 2025 mengkaji pandangan pekerja di Eropah, Asia Pasifik, dan Amerika Utara. Data dikumpulkan dari 30 negara, termasuk Argentina, Australia, Austria, Belgium, Brazil, Kanada, Chile, China, Republik Czech, Denmark, Perancis, Jerman, Greece, Hong Kong SAR, Hungary, India, Itali, Jepun, Luxembourg, Mexico, Belanda, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Romania, Singapura, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), dan Uruguay, antara 7 Oktober 2024 hingga 6 November 2024, dengan 503 responden dari Malaysia.
Sumber: Berita Harian
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
