Rendang adalah hidangan tradisional yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu. Ketika tiba musim perayaan, rendang sering menjadi hidangan utama yang dinikmati bersama lemang dan ketupat. Di Malaysia, terdapat pelbagai variasi rendang, antaranya rendang daging, rendang ayam, dan banyak lagi dan setiap satunya mempunyai cita rasa yang unik dan istimewa.
Memandangkan sambutan Hari Raya berlangsung selama 30 hari, kami ingin kongsikan 9 jenis rendang istimewa mengikut negeri yang mungkin belum anda ketahui!
1. Rendang Tok – Perak

Rendang Tok yang berasal dari negeri Perak terkenal dengan penggunaan rempah yang kaya serta tempoh memasak yang lama. Rendang ini menggunakan daging yang dipotong kecil dan dimasak sehingga hampir kering, memberikan tekstur yang lebih pekat dan rasa yang lebih berempah.
Pada asalnya, Rendang Tok menggunakan daging kerbau namun kini lebih banyak disediakan menggunakan daging lembu.
2. Rendang dendeng – Perak

Hidangan yang juga berasal dari negeri Perak ini berbeza daripada yang biasa. Daging untuk rendang dendeng biasanya diketuk nipis sebelum dimasak, menjadikannya lebih empuk dan mampu menyerap rempah dengan lebih baik. Hidangan ini menjadi pilihan ideal bagi mereka yang menggemari tekstur daging yang lebih lembut.
Rendang dendeng lazimnya dinikmati bersama nasi putih, ketupat atau nasi impit, dan sering menjadi sajian istimewa ketika sambutan Hari Raya.
3. Rendang cili padi – Negeri Sembilan

Dikenali juga sebagai rendang minang, hidangan ini berasal dari Negeri Sembilan yang sinonim dengan makanan pedas.
Berbeza dengan rendang biasa yang berwarna gelap, rendang ini menampilkan cili padi sebagai ramuan utama, memberikan rasa yang lebih pedas berbanding rendang dari negeri-negeri lain. Hidangan ini sering dipadankan dengan lemang atau ketupat, menjadikannya antara juadah kegemaran semasa musim perayaan.
4. Rendang maman – Negeri Sembilan

Selain rendang Minang, Negeri Sembilan turut terkenal dengan rendang unik yang menggunakan sayuran tradisional berasa sedikit pahit iaitu maman.
Sayur maman merupakan ramuan yang sering digunakan dalam masakan tempatan dan menjadi bahan utama dalam rendang ini. Rendang maman dimasak bersama santan dan cili padi, menghasilkan gabungan rasa pedas dan lemak yang seimbang.
5. Rendang opor – Pahang

Rendang opor yang popular di Pahang memiliki keunikan tersendiri, terutamanya dari segi penggunaan rempah. Ia dimasak dengan rempah opor yang khusus, serta diperkaya dengan bahan lain seperti belacan, asam jawa, serai dan gula nisan (gula Melaka).
Kebiasaannya, rendang ini menggunakan daging lembu atau ayam, dan disajikan bersama nasi putih atau ketupat. Selain menjadi juadah kegemaran semasa Hari Raya, Rendang Opor turut menjadi pilihan utama dalam majlis kenduri dan keramaian di negeri Pahang.
6. Rendang hati – Johor

Rendang dari Johor ini menggunakan hati lembu sebagai bahan utama. Berbeza dengan rendang daging, rendang ini dimasak dengan kicap dan tidak perlu untuk dimasak terlalu lama bagi mengelakkan tekstur yang terlalu keras. Bagi mereka yang kurang menggemari hati lembu, daging atau ayam boleh dijadikan pilihan alternatif.
Rendang hati merupakan antara hidangan utama yang sering disajikan dalam rumah terbuka ketika musim perayaan, kenduri, serta pelbagai majlis keramaian di Johor. Ia lazimnya dinikmati bersama nasi putih, ketupat, lemang atau nasi impit, menjadikannya sajian yang serba sesuai untuk pelbagai acara.
7. Rendang ayam lengkuas – Sabah
Rendang ini berasal daripada komuniti Bugis di Sabah dan hadir dalam dua versi – iaitu versi basah dan kering. Seperti yang tertera pada namanya, hidangan ini menggunakan lengkuas dalam kuantiti yang banyak, memberikan aroma yang kuat dan menyelerakan. Kebiasaannya, ayam kampung digunakan untuk mengekalkan rasa tradisional, dan rendang ini sering disajikan bersama buras, sejenis nasi pulut yang dibungkus dengan daun pisang.
8. Rendang daging hitam – Sarawak

Rendang daging hitam ialah hidangan tradisional istimewa dari Sarawak yang unik kerana tidak menggunakan santan. Warnanya yang gelap terhasil daripada penggunaan kicap pekat dan campuran rempah ratus, menghasilkan rasa manis berempah yang unik. Sajian ini biasanya dinikmati bersama nasi kuning, nasi putih atau lemang.
9. Rendang ayam Kelantan – Kelantan

Semoga perkongsian kami ini memberi ilmu baru buat anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
