Intel Dilapor Akan Buang Lebih 20% Pekerja

Intel Dilapor Akan Buang Lebih 20% Pekerja

Posted by

Intel Corp sebuah perbadanan multinasional yang berpusat di Amerika Syarikat dilapor akan kurangkan lebih 20% pekerja mereka pada minggu ini sebagai langkah untuk menghapuskan birokrasi di syarikat pengeluar cip itu.

Memetik laporan Bloomberg, langkah ini adalah sebahagian daripada pelan penyusunan semula pengurusan dan usaha membina semula budaya syarikat yang berpaksikan kejuruteraan.

Ia bakal menjadi penstrukturan berskala besar pertama di bawah kepimpinan CEO baharu Lip-Bu Tan, yang mula mengetuai syarikat itu pada bulan lalu.

Di samping itu, langkah ini merupakan kesinambungan daripada siri pemberhentian kerja yang diumumkan pada tahun lalu, melibatkan kira-kira 15,000 pekerja secara keseluruhan. Menjelang penghujung tahun 2024, jumlah tenaga kerja Intel berkurang kepada 108,900 orang, berbanding 124,800 pada tahun sebelumnya.

Pada Ogos tahun lalu sahaja, lebih 15,000 pekerja telah terkesan, termasuk sekitar 2,000 kakitangan di Malaysia. Beberapa projek pembinaan faundri di Eropah juga telah dibatalkan, manakala skala pengembangan operasi kilang di Pulau Pinang turut dikecilkan sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula.

Kegagalan Intel untuk bersaingan dalam dunia cip kecerdasan buatan (AI) yang kini didominasi oleh NVIDIA, dan isu pada cip Gen-13 serta Gen-14 menyebabkan kedudukan kewangan syarikat terjejas terus. Ia turut menyebabkan CEO Pat Gelsinger dipaksa meletakkan jawatan secara mengejut pada Disember tahun lalu.

Sehingga kini, pihak Intel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.

Pada masa yang sama, Intel dijangka membentangkan laporan kewangan bagi suku pertama pada hari Khamis ini, yang dianggap sebagai penanda penting terhadap arah tuju serta keberkesanan strategi pemulihan yang diterajui oleh Tan.

Artikel berkaitan: 3 Buah Kilang Dijangka Tutup, Puluhan Ribu Pekerja Di Volkswagen Jerman Bakal Dibuang Kerja

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *