Kajian Dedah AI Boleh Jimatkan 2 Minggu Waktu Bekerja Setahun

Kajian Dedah AI Boleh Jimatkan 2 Minggu Waktu Bekerja Setahun

Posted by

Pengaruh kecerdasan buatan (AI) terhadap tenaga kerja semakin ketara apabila ramai wartawan dari akhbar, majalah dan penerbitan dalam talian telah diberhentikan dan digantikan dengan teknologi tersebut. Dalam sektor pekerjaan kolar putih, Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic meramalkan bahawa kadar pengangguran di Amerika Syarikat boleh mencecah sehingga 20% akibat AI mengambil alih tugas-tugas yang sebelum ini dilakukan oleh manusia.

Secara umum, laporan mengenai penggunaan AI lebih banyak ke arah negatif. Namun begitu, satu kajian oleh kerajaan UK mendapati bahawa dalam keadaan tertentu, penggunaan AI boleh memberi manfaat kepada para pekerja.

Di UK, seramai 20,000 penjawat awam diberikan akses kepada Microsoft 360 Copilot selama tiga bulan. Selepas tempoh tersebut, kajian mendapati penggunaan AI telah menjimatkan 26 minit waktu bekerja sehari atau bersamaan 2 minggu waktu bekerja setahun bagi setiap penjawat awam.

Di Suruhanjaya Syarikat, AI digunakan bagi menangani pertanyaan lazim daripada pelanggan serta mempercepatkan tugasan seperti menyediakan respons dan mengemas kini rekod. Sementara itu, di Jabatan Kerja dan Pencen, teknologi ini digunakan untuk memperibadikan nasihat kepada pencari kerja agar mereka menerima sokongan yang lebih cepat dan disesuaikan mengikut keperluan masing-masing.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh Alan Turing Institute pula, AI didapati boleh menyokong 41% tugas-tugas penjawat awam yang sekaligus mengurangkan kos. Penjawat awam di UK menghabiskan 30 minit sehari membalas e-mel yang kini boleh dikurangkan sehingga 70% dengan bantuan AI. Para guru pula menghabiskan 100 minit sehari merancang pelajaran yang boleh dikurangkan sebanyak 75% menggunakan AI.

Penggunaan AI sering mendapat pandangan negatif kerana dianggap sebagai alat untuk menipu dan mendorong sikap malas. Walaupun pandangan ini ada asasnya, hakikatnya dengan penggunaan yang betul, AI mampu meringankan beban tugas-tugas remeh yang membebankan, bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam, tetapi juga di sektor swasta.

Di Malaysia, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) melancarkan inisiatif AI at Work pada Disember yang lalu. Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Kementerian Digital dan Google Cloud bagi mengintegrasikan Gemini for Google Workspace ke dalam rutin kerja harian penjawat awam. Buat masa ini, belum terdapat sebarang laporan mengenai kesan penggunaannya dalam kalangan penjawat awam di Malaysia. Namun, jika berdasarkan kajian yang dilakukan di UK, ada kemungkinan ia turut membantu menjimatkan masa bagi penjawat awam di negara ini.

Artikel berkaitan: 10% Populasi Dunia Kini Menggunakan ChatGPT

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *