Sukan pickleball merupakan sukan raket yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan ping pong. Ia dimainkan di gelanggang bersaiz kecil (seperti badminton) menggunakan paddle dan bola plastik yang berlubang.
Pickleball mula diperkenalkan pada tahun 1965 di Bainbridge Island, Washington, Amerika Syarikat oleh oleh tiga orang sahabat iaitu Joel Pritchard, Bill Bell, dan Barney McCallum. Pada awalnya, ia sekadar aktiviti santai keluarga yang dimainkan di halaman rumah, namun menjelang tahun 1990, sukan ini telah mendapat sambutan hangat dan dimainkan di kesemua 50 negeri di Amerika Syarikat.

Antara sebab sukan pickleball semakin mendapat perhatian di Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah disebabkan oleh:
- Sesuai untuk pemula
- Boleh dimainkan oleh semua peringkat umur
- Melibatkan pergerakan yang lebih ringan berbanding tenis, squash atau badminton
- Mudah untuk dipelajari dan peraturan lebih ringkas
- Tidak memerlukan latihan khusus atau masa yang lama untuk belajar
- Lebih kasual dan sesuai untuk semua peringkat usia
- Baik untuk melatih koordinasi, stamina, keseimbangan, kekuatan otot dan kesihatan jantung
- Kos rendah, gelanggang lebih kecil dan mudah dibina
- Akses mudah, boleh dimainkan di dalam atau luar bangunan
- Gabungan keseronokan dan kecergasan
Bagaimana Pickleball Dimainkan?
Peraturan asas pickleball adalah:
1. Servis: Permainan dimulakan dengan pukulan servis bawah tangan yang perlu dipukul secara menyerong ke arah gelanggang lawan dan mesti jatuh dalam kawasan servis pihak lawan.
2. Volly: Pemain dibenarkan memukul bola sebelum ia mencecah permukaan gelanggang, namun tidak dibenarkan berbuat demikian dalam zon non-volley, iaitu kawasan sepanjang tujuh kaki di kedua-dua belah jaring yang sering dikenali sebagai “dapur.”
3. Peraturan dua lantun: Selepas servis dilakukan, pasukan yang menerima perlu membiarkan bola melantun sekali sebelum memukulnya semula. Seterusnya, pasukan yang melakukan servis juga wajib membiarkan bola melantun sekali sebelum membuat pukulan. Selepas dua lantunan ini berlaku, bola boleh dipukul secara volley atau selepas ia melantun.

4. Penilaian: Mata hanya diberikan kepada pasukan yang sedang melakukan servis. Permainan kebiasaannya berlangsung sehingga mencapai 11 mata, dan pasukan perlu menang dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua mata.
Pickleball telah mengalami perkembangan yang sangat pesat dalam beberapa tahun ini. Menurut Persatuan Industri Sukan & Kecergasan (SFIA), ia merupakan antara sukan yang paling cepat perkembangannya di Amerika Syarikat.
Ia menyaksikan lebih daripada 4.8 juta pemain pada tahun 2021, peningkatan hampir 40% sejak 2019.
Untuk makluman, Selangor berhasrat untuk menjadi negeri pertama yang menganjurkan sukan pickleball di dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 nanti.
Sarawak pula telah mencatat sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang menganjurkan kejohanan pickleball peringkat negeri menerusi Kejohanan Terbuka Pickleball Sarawak 2024, yang diadakan di Miri dari 22 hingga 24 November 2024.
Pada masa yang sama, disebabkan popularitinya yang semakin meningkat di serata dunia, sukan pickleball ini turut dipertimbangkan untuk dijadikan sebahagian daripada sukan Olimpik pada masa akan datang.
Kesimpulannya, kita dapat menyaksikan perkembangan pesat sukan pickleball yang semakin mendapat perhatian dan sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya dalam kalangan para pelajar sekolah.

Artikel berkaitan: Ini Sebab Kenapa Cahaya Matahari Waktu Pagi Lebih Baik Daripada Waktu Petang
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!
