Kesan Penggunaan ChatGPT Yang Berlebihan Terhadap Otak Manusia

Kesan Penggunaan ChatGPT Yang Berlebihan Terhadap Otak Manusia

Posted by

Adakah anda yang sedang membaca ini masih bebas menggunakan ChatGPT? Sekiranya ya, anda sangat beruntung dan telah melakukan pilihan yang tepat! 

Kenapa penulis berkata begini? Ini kerana, menurut kajian terbaharu daripada MIT Media Lab, penggunaan ChatGPT boleh melemahkan keupayaan berfikir secara kritikal terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Dalam kajian yang dijalankan selama 4 bulan itu, penyelidik melakukan imbasan otak (EEG) ke atas 54 peserta yang menggunakan ChatGPT untuk menulis esei.

Ia melibatkan peserta yang berumur antara 18 hingga 39 tahun yang dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu satu, menulis esei dengan bantuan ChatGPT. Kedua, menggunakan Google dan yang ketiga hanya menggunakan idea dari fikiran sendiri.

Hasil kajian mendapati, 83.3% pengguna ChatGPT tidak mampu mengingati isi esei yang mereka hasilkan hanya selepas beberapa minit mengarangya.

Kumpulan yang menulis menggunakan ChatGPT didapati menunjukkan tahap aktiviti otak paling rendah.

Sambungan neural otak peserta yang menggunakan ChatGPT merosot sebanyak 47% apabila sambungan antara bahagian otak didapati menurun daripada 79 kepada 42, yang diibaratkan seperti komputer anda hilang separuh daripada kuasa pemprosesannya.

Otak akan menjadi lebih pasif, kurang aktif dan kurang bersambung.

Bukan itu sahaja, esei yang dihasilkan tiada jiwa kerana hanya bergantung penuh kepada fungsi salin dan tampal (copy and paste).

Menurut Penyelidik MIT, ini dipanggil sebagai cognitive debt atau hutang kognitif. Ia seperti hutang teknikal tetapi ini melibatkan keupayaan otak.

Oleh itu, pengguna tegar ChatGPT perlu sedar yang setiap kali kita ambil jalan mudah dengan menggunakan AI, kita akan membayarnya menggunakan keupayaan berfikir kita.

Perkara ini sangat jauh berbeza dengan kumpulan yang menulis tanpa bantuan AI. Kumpulan tersebut menunjukkan aktiviti otak yang paling aktif, terutama dalam bahagian berkaitan kreativiti dan ingatan. Kumpulan ini juga didapati berpuas hati dan berasa bangga dengan hasil kerja mereka. 

Kumpulan yang menggunakan Google juga menunjukkan pemikiran yang aktif kerana mereka masih perlu mencari dan menyusun maklumat dengan sendiri.

Lebih menarik lagi, apabila kumpulan pengguna ChatGPT diminta untuk menulis semula esei mereka tanpa bantuan AI, mereka gagal untuk mengingati isi kandungan dan menunjukkan aktiviti otak yang lemah, tanda maklumat tidak benar-benar diserap oleh minda mereka.

Menurut ketua penyelidik kajian ini, Nataliya Kosmyna, kita perlu berhati-hati sebelum memperkenalkan AI secara meluas dalam sistem pendidikan, terutamanya kepada kanak-kanak.

Ini kerana, penyelidik mendapati, mereka yang kerap menggunakan AI dan apabila dipaksa menulis secara manual, hasilnya berakhir dengan lebih teruk berbanding mereka yang tidak pernah guna AI langsung.

Ini menunjukkan, ia bukan sekadar ketagihan, tetapi otak yang lupa cara berfungsi. Untuk otak terus berkembang, ia perlu dirangsang secara analog, bukan hanya disuap jawapan AI.

Tambahan pula, Nataliya sedang menjalankan kajian lanjutan dalam bidang pengaturcaraan yang menunjukkan kesan lebih teruk apabila AI digunakan secara berlebihan.

Seorang pakar psikiatri, Dr. Zishan Khan, turut bersetuju bahawa kebergantungan kepada AI boleh melemahkan daya ingatan, ketahanan mental, dan kebolehan menyelesaikan masalah di mana semua ini penting untuk pembentukan minda yang sihat dan berdikari.

Walaupun AI seperti ChatGPT akan memudahkan urusan kerja anda, tetapi penggunaannya dalam pendidikan memerlukan pendekatan yang bijak.

Sekiranya digunakan secara berlebihan, kita mungkin sedang melahirkan generasi yang bijak menjana jawapan, tetapi kurang kemahiran untuk berfikir sendiri. Janganlah bergantung sepenuhnya terhadap AI, tetapi jadikan ia sebagai alat bantu pemikiran yang sepatutnya digunakan untuk memperkayakan lagi proses pembelajaran dan keupayaan berfikir.  

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan!

Sumber: TIME

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *