Bergelar seorang pelajar bukanlah penghalang untuk menjana pendapatan sendiri. Dengan sentuhan kreativiti serta pengurusan masa yang bijak, anda berpeluang meraih pendapatan sampingan tanpa menjejaskan prestasi akademik.
Berikut adalah beberapa cara menarik untuk pelajar menjana duit sampingan:
1. Jualan dalam talian
Kemajuan dunia digital kini membuka ruang luas untuk para pelajar menjana pendapatan tanpa perlu melangkah keluar dari rumah. Antara caranya ialah dengan menjual produk seperti pakaian terpakai, aksesori, atau snek menerusi platform popular seperti Shopee, Instagram, dan TikTok Shop.
Sekiranya anda tidak mempunyai modal permulaan, menjadi ejen dropship merupakan pilihan terbaik. Manfaatkan kreativiti anda dalam menghasilkan gambar produk serta video promosi yang menarik perhatian. Dengan perancangan dan strategi yang berkesan, perniagaan dalam talian mampu berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan yang lumayan.
2. Menjadi tutor atau pengajar
Sekiranya anda mempunyai kemahiran dalam sesuatu subjek, manfaatkan kepakaran tersebut dengan menawarkan khidmat tunjuk ajar kepada rakan sebaya atau pelajar sekolah. Sesi pembelajaran boleh dijalankan secara bersemuka atau dalam talian melalui platform seperti Google Meet dan Zoom.
Bukan sahaja anda membantu orang lain memahami pelajaran dengan lebih baik, malah ia turut memperkukuhkan penguasaan dan pemahaman anda sendiri terhadap topik yang diajar.
3. Menjadi pencipta kandungan (content creator)
Jika anda gemar berkongsi cerita atau ilmu, pertimbangkan untuk menghasilkan kandungan video di platform seperti YouTube, TikTok atau Instagram Reels. Anda boleh berkongsi pelbagai jenis kandungan seperti tutorial pembelajaran, rutin harian sebagai pelajar, atau resipi mudah dan ringkas.
Dengan kandungan yang menarik, konsisten dan kreatif, anda bukan sahaja dapat menarik perhatian ramai penonton, malah berpeluang menjana pendapatan melalui iklan, tajaan dan kerjasama jenama.
4. Bekerja bebas di platform digital
Pelajar yang memiliki bakat dalam bidang seperti penulisan, reka bentuk grafik, suntingan video atau terjemahan boleh menawarkan perkhidmatan secara bebas (freelance) melalui platform seperti Fiverr dan Upwork.
Selain menjana pendapatan, anda juga berpeluang mengasah kemahiran serta membina portfolio yang berguna untuk kegunaan masa depan. Dengan komitmen dan usaha yang konsisten, dunia freelancing bukan sahaja membuka pintu rezeki, malah memberi pengalaman kerja sebenar sebelum melangkah ke alam profesional.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
