Satu trend luar kebiasaan kini muncul di beberapa bandar utama China, di mana golongan belia yang menganggur sanggup mengeluarkan duit semata-mata untuk kelihatan seolah-olah mereka sedang bekerja.
Beberapa syarikat menawarkan perkhidmatan simulasi pejabat kepada pelanggan, di mana suasana kerja sebenar ditiru sepenuhnya. Untuk menikmati pengalaman ini, pelanggan dikenakan bayaran antara 30 hingga 50 yuan sehari (sekitar RM18 hingga RM30).
Memetik laporan myNEWS, ini merupakan salah satu cara untuk melepaskan diri daripada tekanan masyarakat atau ibu bapa yang yang sentiasa mendesak anak mereka untuk segera bekerja.
Malah, terdapat syarikat yang menyediakan perkhidmatan “temu duga palsu” serta menetapkan peraturan tingkah laku seperti “bekerja dari jam 9 pagi hingga 6 petang”, “dilarang merokok di dalam pejabat” dan “larangan hubungan romantik sesama rakan sekerja”.
Seorang wanita bekerja di syarikat “pura-pura” selama sehari hanya untuk membuat rakaman untuk akaun media sosialnya. Dia mengambil selfie dirinya di pejabat dan menghantarnya kepada ibunya untuk menunjukkan bahawa dia “telah mendapat pekerjaan yang sesuai”.
Ryan, yang bekerja di sebuah firma kerja pura-pura di wilayah Jiangsu di utara Shanghai selama enam bulan, berkata dia tidak dapat mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian 18 bulan lalu.
Dia sentiasa menghantar “gambar bekerja” yang diambilnya di pejabat kepada ibu bapanya dan berkata berpura-pura bekerja setiap hari selama lapan jam memberinya rutin dan rasa selamat.
Kadar pengangguran belia di China, yang meliputi mereka yang berumur 16 hingga 24 tahun yang tinggal di kawasan bandar dan tidak termasuk pelajar, adalah 15.8 peratus pada separuh pertama 2025.
Artikel berkaitan: Kajian Dedah Gen Z Sering Periksa Telefon Semasa Bekerja
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
