Microsoft di Amerika Syarikat telah mengemaskini polisi dasar kerja dengan mewajibkan para pekerja untuk bertugas di pejabat sekurangnya 3 hari seminggu bermula tahun 2026.
Pelarasan ini mengikut notis Microsoft, akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah 3 fasa iaitu fasa awal dikenakan untuk kumpulan pekerja yang tinggal dalam lingkungan 50 batu dari ibu pejabat mereka di Redmood, Washington. Fasa kedua pula akan diperluas ke cawangan lain di AS dan fasa ketiga pelarasan itu akan dikemaskini untuk cawangan pasaran antarabangsa.
Microsoft percaya bahawa perubahan dasar ini berpotensi untuk meningkatkan semula tahap produktiviti syarikat dan menggalakkan kerjasama secara bersemuka dalam kalangan pekerja. Secara keseluruhan, maklumat terperinci mengenai model tempoh pekerjaan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Selain Microsoft, beberapa syarikat teknologi dan kewangan terkemuka lain seperti Google, Apple, dan Amazon turut mengambil langkah serupa dengan mewajibkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya tiga hari seminggu.
Sementara itu, syarikat kewangan seperti JPMorgan Chase mengambil pendekatan yang lebih tegas dengan meminta majoriti pekerjanya untuk kembali bekerja di pejabat sepenuh masa, lima hari seminggu. Polisi ini menunjukkan bahawa meskipun syarikat teknologi menyokong konsep bekerja dari mana-mana, syarikat-syarikat besar ini masih berpegang pada keyakinan bahawa inovasi dan budaya korporat lebih kukuh melalui interaksi secara bersemuka.
Artikel berkaitan: Microsoft Akan Buang 6,000 Pekerja, Tertinggi Sejak 2023
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
Sumber: CNBC
