Kadar Pembaca Aktif Rakyat Malaysia Cecah Hampir 90%

Kadar Pembaca Aktif Rakyat Malaysia Cecah Hampir 90%

Posted by

Menurut laporan Free Malaysia Today, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, memaklumkan bahawa hasil Kajian Profil Membaca menunjukkan terdapat peningkatan yang jelas dalam tahap pembacaan rakyat Malaysia.

“Pada tahun 2005, purata rakyat hanya membaca dua buku setahun. Sepuluh tahun kemudian, jumlah itu meningkat kepada 15 buku, dan pada tahun 2023 ia sekali lagi meningkat kepada 24 buku setahun,” katanya.

“Daripada jumlah itu, purata sebanyak 16 buku dibaca dalam bentuk fizikal manakala lapan buku lagi dibaca secara dalam talian,” katanya.

Aaron menyatakan bahawa berdasarkan kajian terkini, sebanyak 88.6% rakyat Malaysia kini tergolong sebagai pembaca aktif.

“Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan keberkesanan dasar serta inisiatif berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ilmu di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa platform digital sehenti, u-Pustaka, yang dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), kini menyediakan akses percuma kepada lebih satu juta bahan bacaan dalam talian untuk dinikmati oleh orang ramai.

Usaha ini bertujuan memastikan bahan bacaan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Aaron menjelaskan bahawa melalui inisiatif ini, orang ramai berpeluang mengakses pelbagai bahan digital seperti e-buku, e-majalah, e-akhbar, buku audio, pembelajaran digital (e-learning), serta jurnal elektronik (e-journal) pada bila-bila masa dan dari mana-mana sahaja.

“Setakat ini, u-Pustaka telah merekodkan 2,985,170 entri bibliografik dengan 1,014,356 judul koleksi digital, selain menyediakan 22 pangkalan data digital untuk kegunaan awam.

“Antara pangkalan data yang disediakan termasuk Overdrive, Alkem Digital Library, Mason Crest, Emerald eBook, JGate, Lawnet, Odilo dan MyGuru.

“Ini menjadikan u-Pustaka sebagai sebuah gedung ilmu maya yang menyeluruh, inklusif dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.   

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *