Di sebalik kesibukan jalan raya di seluruh dunia, wujud pekerjaan-pekerjaan unik yang lahir daripada keperluan tempatan, kreativiti masyarakat dan kadangkala kekangan sistem yang tidak sempurna. Walaupun tidak biasa dilihat di negara lain, pekerjaan ini memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran, keselamatan dan kadangkala kelangsungan hidup sesetengah komuniti.
Dari penumpang upahan di Jakarta hingga ke maskot zebra di Bolivia, berikut kami kongsikan lima pekerjaan luar biasa yang hanya boleh ditemui di jalan-jalan negara tertentu.
1. Joki penumpang di Jakarta
Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, kerajaan Indonesia pernah melaksanakan peraturan “3-in-1”, mewajibkan setiap kenderaan di zon sesak Jakarta membawa sekurang-kurangnya tiga orang termasuk pemandu.
Ini mencetuskan peluang pekerjaan unik iaitu “joki 3-in-1”, iaitu penumpang upahan yang hanya duduk dalam kereta bagi mencukupkan kuota. Ramai rakyat berpendapatan rendah mengambil peluang ini sebagai sumber rezeki harian.
Namun, sisi gelap turut muncul apabila sindiket menyewakan kanak-kanak kepada joki, malah ada yang diberi ubat pelali untuk kekal tenang.
Akhirnya, sistem ini dimansuhkan pada 2016 dan digantikan dengan peraturan nombor plat ganjil-genap, menyebabkan ramai joki kehilangan pekerjaan.
2. Tukang tolak beca di India
Di sesetengah kawasan berbukit di India, penarik kandar dan pengayuh beca sering berdepan cabaran mendaki laluan curam sambil membawa muatan berat. Mengayuh atau menarik sendirian bukanlah sesuatu yang mudah walaupun itu rutin harian mereka.
Di sinilah munculnya kumpulan pemuda tempatan yang menawarkan khidmat membantu menolak kandar atau beca sehingga ke puncak jalan. Mereka akan menunggu di tepi laluan curam, bersedia membantu sesiapa yang memerlukan. Selesai tugas, bayaran tunai diberi dan mereka kembali menuruni bukit, menanti pelanggan seterusnya.
Kadar bayaran bergantung kepada jenis muatan:
- Muatan barangan: sekitar ₹5 (± RM0.28)
- Muatan penumpang: sekitar ₹3 (± RM0.17)
Walaupun kecil, pendapatan ini menjadi sumber rezeki harian buat mereka. Ini bukti kreativiti dalam mencari peluang walaupun di lorong paling sukar.
3. Dabbawalla di India ( sistem penghantaran makanan tradisional)
Dabbawalla ialah sistem penghantaran makanan tradisional yang telah wujud di India, khususnya Mumbai, sejak hampir 200 tahun lalu. Ia diasaskan oleh Mahadeo Havaji Bachche bersama lebih 100 penghantar makanan.
Setiap hari, makanan dimasak di dapur-dapur terpilih, dimasukkan ke dalam mangkuk bertingkat dan dihantar ke pejabat pelanggan oleh dabbawalla. Selepas waktu makan tengah hari, mereka akan kutip semula bekas makanan untuk dibersihkan.
Untuk menjadi dabbawalla, seseorang perlu menyediakan cagaran seperti dua buah basikal, kotak kayu khas, serta pakaian seragam iaitu kurta dan kopiah putih.
Walaupun tanpa bantuan teknologi moden, sistem ini terkenal dengan kecekapan dan ketepatan, sehingga menjadi simbol kerjasama dan kebanggaan masyarakat India.
4. Pelindung nombor plat di Iran
Ekoran penguatkuasaan dasar penggiliran akses kenderaan berdasarkan nombor plat genap atau ganjil bagi mengurangkan pencemaran, ramai pemandu di Iran menghadapi kesukaran untuk bergerak.
Situasi ini mendorong segelintir individu mengambil peluang menjadi pelindung plat nombor, iaitu menawarkan perkhidmatan menyembunyikan nombor pendaftaran kenderaan agar tidak dikesan kamera.
Taktik yang digunakan termasuk menaiki motosikal atau basikal di belakang kereta atau duduk di bahagian belakang kenderaan sepanjang laluan larangan.
Tanpa memerlukan modal, kerja ini menjadi sumber pendapatan bagi sesetengah individu yang menjadikannya sebagai kerjaya harian.
Tamat tugasan, bayaran diterima dan mereka bersedia untuk pelanggan seterusnya.
5. Kuda belang trafik (traffic zebra) di Bolivia
Di La Paz, Bolivia, wujud satu profesion unik dikenali sebagai “traffic zebra” iaitu individu berpakaian seperti kuda belang yang ditugaskan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.
Dilancarkan pada tahun 2001 oleh majlis perbandaran, program ini bertujuan membantu pejalan kaki melintas jalan dengan selamat serta mendidik pemandu agar lebih berdisiplin di lintasan belang. Zebra-zebra ini bukan sekadar berdiri di persimpangan, tetapi turut terlibat dalam pelbagai kempen keselamatan jalan raya di seluruh bandar.
Disebabkan kesan positifnya, inisiatif ini telah diperluaskan ke daerah lain di Bolivia. Kini, maskot kuda belang menjadi simbol keselamatan jalan raya yang dikenali ramai dan profesion sebagai “traffic zebra” dianggap mulia serta popular dalam kalangan masyarakat tempatan.
Semoga perkongsian ini memberi ilmu baru buat anda.
Artikel berkaitan: 5 Pekerjaan Ini Boleh Bantu Anda Kenali Sifat Sebenar Manusia
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
