Syarikat e-dagang gergasi, Amazon, dilaporkan merancang untuk melaksanakan automasi secara menyeluruh dalam operasinya. Pelan ini berpotensi mengurangkan keperluan mengambil lebih 600,000 pekerja di Amerika Syarikat menjelang tahun 2033.
Menurut laporan The New York Times yang memetik dokumen dalaman Amazon, syarikat itu dijangka akan menggantikan kira-kira 160,000 pekerja seawal tahun 2027. Usaha ini dianggarkan mampu mengurangkan kos operasi sebanyak 30 sen bagi setiap bungkusan yang dihantar. Melalui pelaksanaan teknologi automasi, Amazon berpotensi menjimatkan sehingga $12.6 bilion dalam tempoh antara tahun 2025 hingga 2027. Dokumen yang sama turut mendedahkan sasaran jangka panjang syarikat itu, iaitu untuk membolehkan 75% daripada operasinya dijalankan sepenuhnya oleh robot pada masa hadapan.
Bagi menghadapi kritikan serta kesan sosial akibat pengurangan peluang pekerjaan, dokumen tersebut turut mendedahkan perancangan strategi Amazon dalam mengurus persepsi awam. Antara langkah yang dipertimbangkan termasuk:
- Meningkatkan reputasi sebagai “entiti korporat yang bertanggungjawab” melalui penyertaan dalam acara komuniti tempatan seperti program kebajikan.
- Mengelakkan penggunaan istilah seperti “automasi” dan “AI” (Kecerdasan Buatan), sebaliknya menggunakan frasa yang lebih umum seperti “teknologi canggih (advanced technology)”.
- Mencadangkan penggunaan istilah “cobot” (robot kolaboratif) untuk menggambarkan robot yang bekerja bersama manusia, bagi memberi gambaran kerjasama dan bukannya penggantian.
Dalam kenyataannya kepada The New York Times, jurucakap Amazon menyatakan bahawa laporan yang berpandukan dokumen tersebut adalah “tidak lengkap” dan tidak mencerminkan keseluruhan strategi pengambilan pekerja syarikat. Amazon turut menafikan bahawa inisiatif komuniti mereka berkait dengan rancangan automasi atau bahawa terdapat arahan kepada para eksekutif untuk mengelakkan penggunaan istilah tertentu.
Amazon merupakan antara syarikat terawal di Amerika Syarikat yang meneroka penggunaan robot dalam operasi gudang dan penghantaran bungkusan jarak dekat. Pada tahun ini, syarikat itu mengumumkan pelaksanaan sebanyak 1 juta robot berteknologi DeepFleet di pusat-pusat logistiknya, di samping membangunkan robot canggih bernama Vulcan yang direka khusus untuk mengendalikan bungkusan dengan lebih teliti dan berhati-hati.
Artikel berkaitan: Kajian Dedah Pekerja Muda dan Wanita Antara Golongan Paling Terdedah Kepada Risiko AI di Malaysia
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
