Hanya 10% Pekerja di Malaysia Raih Pendapatan Lebih RM9,200 Sebulan

Hanya 10% Pekerja di Malaysia Raih Pendapatan Lebih RM9,200 Sebulan

Posted by

Menurut kemaskini gaji terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hanya 10% pekerja formal di Malaysia berpendapatan RM9,200 atau lebih setiap bulan.

Sebaliknya, 10% pekerja dengan pendapatan terendah membawa pulang RM1,664 atau kurang, sekali gus menonjolkan jurang gaji yang ketara dalam kalangan tenaga kerja.

Meskipun semakin sedikit pekerja formal berpendapatan bawah RM1,700, laporan DOSM Jun 2025 mendedahkan bahawa 10.4% pekerja masih berada dalam julat gaji tersebut.

Secara keseluruhan, mereka dalam kelompok berpendapatan tinggi masih menikmati pendapatan kira-kira lima kali ganda berbanding mereka di hujung bawah spektrum gaji.

Separuh daripada pekerja di Malaysia menikmati kenaikan gaji median sebanyak 4.3% berbanding Jun tahun lalu. Pada masa sama, jumlah pekerja formal meningkat 3.5% kepada 6.97 juta orang pada Jun 2025, menurut rekod berkanun.

Kadar peningkatan gaji bulanan median tahun ke tahun (YoY) menunjukkan trend berubah-ubah daripada 3.6% pada April 2025, meningkat kepada 5.4% pada Mei, sebelum sedikit perlahan kepada 4.3% pada Jun 2025.

Dari segi jantina, lelaki membentuk majoriti tenaga kerja formal dengan 55.1% atau 3.84 juta orang, dan gaji median sebanyak RM2,900. Sementara itu, wanita merangkumi 44.9% atau 3.13 juta orang, dengan gaji median sedikit lebih rendah pada paras RM2,800.

Gaji median mengikut kumpulan umur menunjukkan peningkatan di semua peringkat. Pekerja berumur bawah 20 tahun merekodkan kenaikan tertinggi sebanyak 13.3%, dengan gaji median RM1,700. Sementara itu, kumpulan umur 45 hingga 49 tahun mencatat gaji median tertinggi keseluruhan, iaitu RM3,800.

Laporan itu turut menunjukkan bahawa sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan pertumbuhan gaji tertinggi sebanyak 10.2%, dengan gaji median mencecah RM6,500. Sebaliknya, sektor pertanian mencatat pertumbuhan paling rendah sebanyak 1.0%, dengan gaji median hanya RM2,200.

Dari segi geografi, hanya tiga negeri merekodkan gaji median melebihi paras kebangsaan sebanyak RM2,864 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM4,064), Selangor (RM3,145) dan Pulau Pinang (RM2,927).

Antara negeri dengan gaji median terendah ialah, Kelantan yang berada di tangga pertama dengan RM1,764, diikuti Perlis (RM1,800), manakala Sabah dan Kedah mencatat paras yang sama iaitu RM2,000.

Hanya 10% Pekerja di Malaysia Raih Pendapatan Lebih RM9,200 Sebulan
Facebook: Department of Statistics Malaysia

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.   

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *