Hampir semua orang kini bergantung kepada ChatGPT. Menurut statistik terbaru, lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia menggunakan platform ini setiap hari, dengan lebih satu bilion pertanyaan diproses oleh sistemnya.
Meskipun popular di seluruh dunia, ChatGPT turut digelar sebagai ‘lubang hitam privasi’ berikutan kebimbangan terhadap pengendalian data pengguna. Malah, platform itu pernah diharamkan sementara di Itali susulan isu tersebut.
Menurut Forbes, OpenAI sendiri mengakui bahawa data yang dimasukkan ke dalam sistem tidak dijamin sepenuhnya selamat. Maklumat tersebut boleh digunakan untuk melatih model AI dan turut disemak oleh manusia bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan penggunaan.
Selain itu, data yang dihantar ke perkhidmatan berasaskan awan (cloud service) juga tidak semestinya selamat sepenuhnya kerana tahap keselamatannya bergantung pada perlindungan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan.
Oleh itu, menurut Forbes, sebarang maklumat yang dimasukkan ke dalam sistem seperti ChatGPT wajar dianggap sebagai maklumat awam.
Berikut kami kongsikan antara 5 perkara yang tidak wajar didedahkan kepada mana-mana chatbot awam berasaskan awan seperti ChatGPT.
1. Permintaan menyalahi undang-undang atau tidak beretika
Kebanyakan chatbot AI seperti ChatGPT mempunyai sistem kawalan untuk menghalang permintaan yang salah atau haram. Jangan gunakan AI untuk jenayah, penipuan atau memanipulasi orang lain kerana ini boleh menyalahi undang-undang.
Contohnya, di China, AI tidak boleh digunakan untuk menggugat kestabilan negara; di Kesatuan Eropah, imej atau video deepfake mesti dilabel manakala di UK, menyebarkan imej eksplisit AI tanpa kebenaran adalah jenayah.
Bahasa mudahnya, jangan gunakan ChatGPT untuk perkara yang melanggar undang-undang atau membahayakan orang lain.
2. Maklumat kewangan
Maklumat kewangan seperti nombor akaun bank, kad kredit atau butiran transaksi tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam chatbot.
Ini kerana sistem seperti ChatGPT tidak dilengkapi ciri keselamatan khas seperti penyulitan data (encryption) atau penghapusan automatik selepas data diproses. Berbeza dengan laman e-dagang atau perbankan dalam talian yang menawarkan tahap keselamatan lebih tinggi, data di chatbot tidak dijamin sepenuhnya.
Sekiranya anda berkongsi maklumat kewangan melalui chatbot, anda berisiko menjadi mangsa penipuan kewangan, kecurian identiti, serangan phishing atau serangan perisian tebusan (ransomware).
3. Maklumat sulit dan rahsia syarikat
Setiap individu bertanggungjawab untuk menjaga kerahsiaan maklumat sensitif, sama ada berkaitan dengan pekerjaan, perniagaan atau pelanggan. Ini merangkumi fail dalaman, minit mesyuarat dan rekod transaksi.
Sebagai contoh, kes Samsung pada tahun 2023 memperlihatkan risiko sebenar apabila seorang pekerja didapati berkongsi maklumat dalaman syarikat melalui ChatGPT, menurut laporan Forbes. Tindakan tersebut berpotensi melanggar perjanjian kerahsiaan (NDA).
Walaupun ChatGPT boleh digunakan untuk menganalisis data, memuat naik dokumen sulit tanpa langkah keselamatan yang sesuai boleh membawa kepada kebocoran maklumat atau pelanggaran undang-undang perniagaan.
4. Maklumat log masuk dan kata laluan
Kemunculan AI berautonomi (Agentic AI) kini membolehkan chatbot berinteraksi dengan perkhidmatan luar atau pihak ketiga.
Namun, memberikan maklumat log masuk seperti nama pengguna dan kata laluan kepada sistem awam adalah amat berisiko. Terdapat kes di mana data peribadi pengguna telah bocor dan muncul dalam jawapan yang diberikan kepada orang lain, sekali gus menjejaskan privasi dan keselamatan.
Oleh itu, jangan berkongsi maklumat akaun atau log masuk dengan AI, melainkan anda yakin sistem tersebut selamat dan dikawal sepenuhnya.
5. Maklumat perubatan dan kesihatan
Ramai pengguna cenderung bertanya kepada ChatGPT tentang masalah kesihatan atau rawatan penyakit, namun perkara ini perlu dilakukan dengan berhati-hati.
Versi terbaru ChatGPT mampu mengingati perbualan sebelumnya dan mengaitkannya dengan sesi baharu untuk memahami konteks pengguna. Tetapi, tiada jaminan bahawa maklumat yang dikongsi akan kekal sulit.
Oleh itu, maklumat sensitif seperti data kesihatan atau rekod pesakit tidak sepatutnya dikongsi melalui platform ini. Hal ini penting terutama bagi institusi kesihatan, kerana pendedahan maklumat pesakit kepada pihak luar boleh mengakibatkan tindakan undang-undang atau denda besar.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk anda.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
