6 Barangan Harian yang Dilarang di Negara Lain

6 Barangan Harian yang Dilarang di Negara Lain

Posted by

Setiap negara mempunyai peraturan unik yang kadangkala kelihatan pelik atau ketat bagi orang luar. Apa yang dianggap biasa di satu tempat, boleh menjadi taboo atau haram di tempat lain. Peraturan ini wujud bukan sekadar untuk mengawal, tetapi juga untuk menjaga keselamatan, menghormati budaya dan memelihara nilai masyarakat setempat. Memahami perbezaan ini penting bagi sesiapa yang ingin melancong dengan selamat dan bertanggungjawab.

Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan enam barangan harian yang dilarang di beberapa negara dan mengapa larangan ini wujud.

1. Baby walker – Kanada

6 Barangan Harian yang Dilarang di Negara Lain

Baby walker direka khusus untuk membantu bayi yang masih belum pandai berjalan agar mereka dapat belajar melangkah dengan lebih yakin. 

Pada masa yang sama, ia memudahkan ibu bapa menguruskan urusan harian mereka, sementara bayi dapat bergerak bebas dan kekal aktif tanpa hanya terbaring sahaja.

Walau bagaimanapun, di Kanada, penggunaan baby walker telah diharamkan sejak tahun 2004. Menurut kerajaan Kanada, alat ini berpotensi menyebabkan kecederaan serius kepada bayi. Pergerakan bayi yang terlalu laju boleh meningkatkan risiko jatuh tangga, terlanggar objek tajam atau terdedah kepada kawasan berbahaya seperti dapur.

Lebih membimbangkan, satu kajian mendapati bahawa penggunaan baby walker sebenarnya boleh melambatkan perkembangan otot dan keseimbangan bayi. Oleh itu, cara terbaik untuk menggalakkan anak kecil belajar berjalan adalah dengan membiarkan mereka berlatih berjalan sendiri, bukan bergantung kepada alat bantuan seperti ini.

Sekiranya ditangkap  memiliki atau menjual baby walker di sana, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM300,000 atau lebih teruk lagi adalah dengan berdepan dengan hukuman penjara.

2. Seluar jeans biru – Korea Utara

6 Barangan Harian yang Dilarang di Negara Lain

Korea Utara telah mengharamkan pemakaian seluar jeans biru kerana ia dianggap sebagai simbol budaya Barat, khususnya Amerika Syarikat. Kerajaan negara itu melihat jeans sebagai lambang kapitalisme dan imperialisme, yang bertentangan dengan nilai-nilai sosialis yang mereka pegang teguh.

Selain itu, Korea Utara juga melarang pemakaian jeans ketat, koyak atau berwarna biru, kerana ia dianggap tidak sesuai dengan imej dan ideologi negara. Sebagai alternatif, rakyat digalakkan memakai seluar longgar berwarna hitam, yang dianggap lebih sopan serta selaras dengan nilai dan identiti nasional mereka.

Walaupun undang-undang ini dianggap ketat untuk rakyat tempatan, pelancong asing masih dibenarkan memakai seluar jeans biru semasa melancong ke negara tersebut. Namun begitu, pelancong dikehendaki mengenakan pakaian formal dan dilarang memakai jeans biru apabila mengunjungi tempat-tempat bersejarah seperti Kumsusan Palace of the Sun dan Mansudae Grand Monument.

Walaupun peraturan ini tidak sepenuhnya terpakai kepada pelancong asing, namun adalah disarankan agar anda memakai pakaian longgar dan sopan sepanjang berada di negara tersebut, sebagai tanda menghormati undang-undang dan budaya tempatan.

3. Barang keagamaan – United Arab Emirates

6 Barangan Harian yang Dilarang di Negara Lain

Sekiranya anda merancang untuk melancong ke United Arab Emirates (UAE), adalah disarankan tidak membawa sebarang barang atau peralatan yang berunsur keagamaan bukan Islam, seperti salib Kristian atau kitab agama lain. Negara ini mempunyai peraturan ketat untuk menjaga keharmonian agama dan sensitiviti penduduk tempatan. Barangan sebegini boleh dirampas di lapangan terbang, malah boleh menyebabkan siasatan lanjut dijalankan.

Walaupun UAE secara umumnya menghormati kebebasan beragama, terdapat batasan tertentu yang perlu dipatuhi. Sebagai contoh, undang-undang persekutuan melarang gereja daripada memasang menara loceng atau memaparkan salib serta simbol keagamaan lain di luar premis. Langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang gambaran yang boleh dianggap sebagai penyebaran agama secara terbuka, sekaligus menghormati sensitiviti umat Islam di negara tersebut.

Bagi sesetengah pelancong, peraturan ini mungkin kelihatan agak pelik, tetapi ia dilaksanakan demi menghormati budaya dan pegangan agama tempatan.

4. Gula-gula getah (chewing gum) – Singapura

 

6 Barangan Harian yang Dilarang di Negara Lain

Singapura telah mengharamkan gula-gula getah atau chewing gum sejak tahun 1992, selepas kerajaan berhadapan dengan masalah sampah dan kerosakan harta benda awam akibat orang ramai yang suka membuang gula-gula getah merata-rata. Malah, pernah berlaku kejadian di mana chewing gum tersangkut di pintu MRT, menimbulkan kesulitan kepada pengguna.

Walau bagaimanapun, tidak semua jenis chewing gum diharamkan sepenuhnya. Beberapa jenis, terutamanya yang digunakan untuk tujuan perubatan, seperti membantu usaha berhenti merokok, masih dibenarkan untuk dibeli oleh rakyatnya.

Walaupun undang-undang ini kelihatan kecil atau remeh, ia berjaya menjadikan Singapura antara negara paling bersih di dunia.

5. Bunga api – Australia

Malaysia terkenal dengan budaya bunga api dan mercun, tetapi situasinya berbeza di Australia. Di negeri seperti New South Wales, individu biasa dilarang membeli, memiliki atau menyalakan bunga api tanpa lesen yang sah. Hanya mereka yang memegang lesen pyrotechnician atau Fireworks (Single Use) Licence (FSUL) dibenarkan mengendalikan bunga api dan lesen tersebut hanya sah untuk satu acara tertentu seperti majlis komuniti atau perayaan awam.

Larangan ini wujud kerana Australia sering berdepan risiko kebakaran hutan besar dan bunga api dianggap salah satu faktor penyumbang utama. Mereka yang melanggar undang-undang ini boleh dikenakan denda sehingga AUD 27,500 (RM 75,000) atau penjara sehingga 12 bulan.

6. Fesyen camo/camouflage – negara Timur Tengah

6 Barangan Harian yang Dilarang di Negara Lain

Di negara-negara seperti Jamaica, Barbados, dan Saint Lucia, pemakaian pakaian camo/camouflage atau bercorak tentera dikhususkan hanya untuk anggota keselamatan. Orang awam yang memakainya berisiko disalah anggap sebagai tentera atau pemberontak, yang boleh menimbulkan masalah serius. Malah, pihak berkuasa amat tegas terhadap peraturan ini kerana ia berkait rapat dengan isu keselamatan awam.

Selain di negara-negara Caribbean, beberapa negara di Afrika seperti Zambia, Zimbabwe dan Mesir juga mempunyai peraturan ketat mengenai pemakaian corak camo. Walaupun corak tersebut hanya terdapat pada beg atau aksesori, orang awam tetap dilarang menggunakannya.

Kesimpulannya, walaupun sesetengah peraturan ini mungkin kelihatan pelik atau sukar difahami, ia mencerminkan usaha negara-negara tersebut dalam menjaga keselamatan, kebersihan dan sensitiviti budaya serta agama. Sebagai pelancong atau pengunjung, mematuhi peraturan ini bukan sahaja mengelakkan masalah undang-undang, tetapi juga menunjukkan hormat terhadap norma dan nilai tempatan, sekali gus menjadikan pengalaman melancong lebih selamat dan menyenangkan.

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.   

Sumber: The Merge

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *