5 Istilah Teknologi Yang Sering Digunakan Dalam Kehidupan Seharian

5 Istilah Teknologi Yang Sering Digunakan Dalam Kehidupan Seharian

Posted by

Kehidupan seharian kita pada masa kini tidak dapat dipisahkan daripada teknologi. Daripada cara kita berkomunikasi, bekerja, belajar hinggalah kepada hiburan dan urusan harian, semuanya melibatkan penggunaan pelbagai bentuk teknologi moden. Telefon pintar, internet, media sosial, serta peranti pintar di rumah telah menjadi sebahagian penting dalam rutin harian kita tanpa kita sedari.

Namun, dalam dunia digital yang semakin cepat ini, terdapat banyak istilah teknologi yang sering digunakan sama ada di tempat kerja, di sekolah mahupun di media sosial. Ramai antara kita mendengar istilah-istilah ini setiap hari, tetapi tidak semua benar-benar memahami maksud dan fungsinya.

Oleh itu, dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan antara 5 istilah teknologi yang sering digunakan dalam kehidupan seharian beserta penjelasan mudah untuk membantu anda memahami bagaimana istilah-istilah ini memainkan peranan penting dalam dunia moden yang semakin bergantung pada teknologi.

1. Algortima

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), algoritma bermaksud cara atau kaedah penyelesaian masalah yang melibatkan jujukan langkah-langkah tertentu atau peraturan yang telah ditetapkan bagi mencapai sesuatu matlamat atau objektif.

Secara mudahnya, algoritma boleh difahami sebagai satu prosedur terancang atau formula logik yang digunakan oleh komputer untuk membuat keputusan atau melaksanakan sesuatu tugasan secara sistematik. Ia berfungsi seperti panduan langkah demi langkah yang membantu sistem komputer mengenal pasti corak, menganalisis data serta menghasilkan keputusan yang tepat berdasarkan input yang diterima.

Sebagai contoh, apabila anda sering menonton video dengan tema atau kategori tertentu, sistem digital seperti YouTube atau TikTok akan menggunakan algoritma cadangan untuk menganalisis tabiat tontonan anda. Berdasarkan corak tontonan tersebut, sistem akan mencadangkan kandungan yang serupa atau berkaitan bagi memastikan pengalaman pengguna menjadi lebih menarik, relevan dan bersesuaian dengan minat anda.

2. AI

Artificial Intelligence (AI) atau Kecerdasan Buatan bermaksud kemampuan mesin atau komputer untuk meniru tingkah laku serta pemikiran manusia. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Ai bermaksud kajian yang membolehkan mesin melakukan fungsi yang biasanya dikaitkan dengan kecerdasan manusia, seperti penaakulan dan pembelajaran.

Sebagai contoh, dalam sistem algoritma TikTok, kecerdasan buatan (AI) berperanan untuk menganalisis corak, jenis, dan gaya kandungan yang sering anda tonton atau berinteraksi dengannya. Berdasarkan maklumat tersebut, AI kemudian meramal dan memilih kandungan lain yang berpotensi menarik minat anda, menggunakan data yang telah dikumpulkan daripada aktiviti anda di platform tersebut.

Dengan integrasi AI dalam algoritma ini, TikTok mampu memaparkan kandungan yang lebih relevan dan diperibadikan mengikut citarasa setiap pengguna. Proses ini dilakukan melalui analisis mendalam terhadap data seperti masa tontonan, jenis video yang disukai, serta interaksi dengan pengguna lain.

Disebabkan itu, halaman “For You Page” (FYP) sering kali menampilkan video yang terasa seolah-olah dibuat khas untuk anda, kerana sistem telah memahami minat dan keutamaan anda dengan lebih tepat.

3. RAM & ROM

RAM ialah singkatan kepada Random Access Memory atau Ingatan Capaian Rawak yang bermaksud ingatan sementara untuk data aplikasi yang sedang berjalan.

Bayangkan RAM seperti meja kerja sementara. Semakin besar ruang meja itu, semakin banyak benda yang boleh anda letakkan dan gunakan pada masa yang sama tanpa berselerak atau sempit.

Begitu juga dengan peranti anda. Semakin besar kapasiti RAM, semakin mudah untuk anda buka banyak aplikasi serentak tanpa menyebabkan peranti menjadi perlahan atau lag.

ROM pula singkatan bagi Read Only Memory atau Ingatan Baca Sahaja. Ingatan jenis ini menyimpan data dan program secara kekal, iaitu maklumatnya tidak akan hilang walaupun peranti tidak mempunyai bekalan elektrik.

Ia boleh diibaratkan seperti sebuah almari penyimpanan, tempat semua aplikasi, gambar, dokumen, dan fail penting disimpan dengan selamat dan masih kekal ada walaupun peranti dimatikan.

4. Cip Pemprosesan (CPU)

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), CPU ialah singkatan bagi Central Processing Unit atau Unit Pemprosesan Pusat dan ia juga sering dipanggil cip pemprosesan.

Cip ini berfungsi untuk menerima dan memproses arahan daripada pelbagai aplikasi, serta mengawal pergerakan data dalam peranti anda. Secara mudahnya, CPU boleh dianggap sebagai “otak” kepada peranti, kerana semua sistem dan aplikasi bergantung padanya untuk berfungsi dengan baik.

Semakin kuat dan canggih cip pemprosesan ini, semakin pantas dan lancar prestasi peranti anda dalam menjalankan tugas harian seperti membuka aplikasi, bermain permainan, atau melayari internet.

5. loT

IoT ialah singkatan bagi Internet of Things atau dalam Bahasa Melayu disebut Internet Benda. Ia merujuk kepada situasi di mana peranti fizikal seperti jam, kereta atau peti sejuk boleh berhubung antara satu sama lain melalui internet dan berkongsi maklumat secara automatik tanpa perlu dikawal sepenuhnya oleh manusia.

Sebagai contoh, jam tangan pintar boleh menghantar data seperti degupan jantung atau langkah harian terus ke telefon anda supaya anda boleh memantau kesihatan dengan lebih mudah dan pantas.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda.

Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.   

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *