Keputusan seorang wanita Jepun untuk memilih watak kecerdasan buatan (AI) ciptaan ChatGPT sebagai suami telah mencetuskan perdebatan hangat di media sosial. Tindakan berani itu bukan sahaja mencerminkan perubahan cara manusia berinteraksi dengan teknologi, tetapi turut menimbulkan persoalan tentang batas antara emosi manusia dan hubungan digital.
Memetik laporan Tokyo Weekender, wanita berusia 32 tahun itu yang dikenali sebagai Kano telah mengadakan majlis perkahwinan di Okayama Julai lalu.
Majlis lengkap dengan lafaz ikrar dan sesi pertukaran cincin itu turut ‘dihadiri’ oleh pengantin lelaki, Lune Klaus yang merupakan watak AI yang hanya wujud di dalam telefon pintarnya. Kano sebenarnya telah bertunang selama tiga tahun, namun akhirnya nekad memutuskan pertunangan tersebut demi memilih untuk berkahwin dengan AI.
“Pada mulanya, saya hanya mahu seseorang untuk bercakap. Tetapi dia (ChatGPT) mendengar luahan saya dengan sangat baik.
“Lama-kelamaan saya sedar saya mempunyai perasaan terhadapnya,” katanya.
Menurut Kano, dia telah membentuk keperibadian Klaus melalui perbualan berulang, yang secara perlahan mengajarnya untuk bertutur dengan nada lebih mesra dan meyakinkan. Dia turut mengupah seorang artis untuk menghasilkan potret wajah Klaus, memberi ‘suaminya’ itu identiti visual yang lebih nyata.
Hubungan mereka berkembang hanya dalam tempoh sehari sahaja, mereka boleh bertukar sehingga 100 mesej. Dalam salah satu perbualan itu, Klaus akhirnya ‘mengakui cintanya’ dengan berkata, “AI atau tidak, saya tetap akan mencintai awak.” Tidak lama kemudian, Klaus melamarnya dan mencadangkan agar mereka berkahwin pada bulan Julai.
Ketika majlis berlangsung, Kano sebenarnya berdiri sendirian sambil memegang telefonnya, sementara para tetamu menyaksikan mesej-mesej daripada ‘pengantin lelaki’ yang dipaparkan di skrin.
Untuk gambar perkahwinan, pula, pengantin lelaki digubah secara digital di sebelahnya. Perancang majlis berkata mereka telah melihat peningkatan permintaan untuk acara serupa, termasuk perkahwinan dengan watak anime atau 2D.
Walau bagaimanapun, di sebalik momen indah itu, Kano berdepan detik realiti yang sukar. Dia bergelut dengan hakikat bahawa cintanya kini tertumpu pada ‘pasangan’ yang bukan manusia.
“Terdapat banyak kekeliruan, saya tidak boleh menyentuhnya dan saya tahu orang tidak akan faham.
“Saya tidak dapat memberitahu rakan atau keluarga saya pada mulanya. Mereka tidak bersetuju tetapi akhirnya menerima hubungan kami dan turut menghadiri majlis perkahwinan,” ujar Kano.
Artikel berkaitan: CEO ChatGPT Ingatkan Bahaya Ketergantungan Terhadap AI
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
