Pengaruh media sosial semakin ketara apabila pengguna mula bergantung kepada platform seperti TikTok, Instagram dan sebagainya untuk mengisi masa lapang. Tabiat menonton video pendek sama ada di TikTok, Instagram Reels atau YouTube Shorts mula menjadi kebiasaan yang berpotensi mempengaruhi tingkah laku dan fungsi kognitif pengguna.
Ada pihak yang mendakwa bahawa platform seperti TikTok, YouTube Shorts, Vine dan Instagram Reels sengaja diwujudkan oleh kumpulan berkepentingan tertentu untuk mengalih perhatian masyarakat daripada isu-isu global yang lebih serius.
Menurut dakwaan ini, aliran kandungan hiburan kosong kononnya bertujuan melemahkan keupayaan intelektual orang ramai. Walau bagaimanapun, teori tersebut tidak disokong sebarang bukti kukuh.
Namun begitu, kajian terkini oleh Persatuan Psikologi Amerika (APA) menunjukkan bahawa penggunaan video pendek memang boleh memberi kesan tertentu terhadap fungsi otak individu.
Artikel berkaitan: Kematian Menyayat Hati Berpunca Daripada Media Sosial
Kajian yang dijalankan oleh APA menggunakan himpunan data daripada 71 kajian lepas melibatkan seramai 98,299 peserta yang menonton kandungan video pendek di pelbagai platform. Hasil analisis menunjukkan bahawa pendedahan yang tinggi terhadap video-video pendek berkait rapat dengan penurunan fungsi kognitif, termasuk kemerosotan keupayaan mental merentasi semua peringkat umur.
Pendedahan berlebihan kepada video pendek menjadikan individu kurang peka terhadap kandungan yang bergerak lebih perlahan serta tugasan kognitif yang memerlukan tumpuan, seperti membaca, menyelesaikan masalah dan pembelajaran mendalam. Ketagihan terhadap format video sebegini juga dikaitkan dengan gangguan tidur, peningkatan rasa cemas dan perasaan sunyi.
Jika anda mengalami tanda-tanda sedemikian dan kerap menonton video pendek, langkah pemulihan yang boleh diambil termasuklah menjauhkan diri seketika daripada telefon. Selain itu, amalkan lebih banyak aktiviti seperti membaca buku dan menonton kandungan yang lebih panjang tanpa gangguan berterusan daripada peranti di tangan.
Jangan lupa ikuti kami untuk pelbagai tips kerjaya, gaya hidup dan jawatan kosong terkini! Layari Jobstore.com atau muat turun aplikasi mudah alih kami secara percuma untuk lebih banyak peluang pekerjaan.
